Sarawak tak perlu ikut Rang Undang- undang Pelancongan 2017 jika merugikan

Premis perbincangannya mudah. Pelancongan bukan termasuk dalam mana-mana senarai pentadbiran — baik Senarai Negeri, Persekutuan mahupun Bersama.

Lebih menarik, Kerajaan Persekutuan tidak pula menyumbang dana yang gah dan besar kepada pelancongan Sarawak, manakala sumbangan promosi pelancongannya pula “suam-suam kuku”.

Sehubungan itu, apabila mereka berhajat melaksanakan cukai pelancongan untuk setiap bilik hotel dan inap desa di negeri ini, ia dilihat tidak bertindak adil kepada Sarawak.

Malah ia lebih bertujuan untuk menguntungkan kantung Pusat, walhal yang bekerja keras untuk menjulang industri itu ialah pentadbiran negeri sendiri.

Kerana itu Menteri Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memiliki justifikasi yang kukuh untuk meminta keputusan melaksanakan Cukai Pelancongan yang akan dilaksanakan pada 1 Julai depan dikaji semula.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Cukai tersebut mengenakan caj tambahan antara RM2.50 ke RM20 untuk setiap bilik penginapan. Dengan jumlah 11,000 bilik yang ditawarkan di seluruh negara, dan 60 peratus kapasiti dipenuhi, Kerajaan Pusat dijangka mengutip RM654.62 juta setahun.

Paling tidak pun, Kerajaan Negeri akan bertindak untuk tidak menguatkuasakan peraturan itu di negeri ini.

Kerajaan Negeri pernah mengadakan sekatan, seperti Akta Pertubuhan Belia, yang menyebabkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sehingga sekarang menjeruk rasa.

Banyak pihak sebenarnya beranggapan tindakan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz atau “Chief” sebagai tergesa-gesa dalam menjayakan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017.

Industri pelancongan kita belum bersedia. Mereka memerlukan tempoh selama enam hingga 12 bulan untuk bersedia dengan cadangan ini, berikutan aspek operasi penting serta kewajaran cukai berkenaan, termasuk pengecualian yang belum dimuktamadkan, kata pakar cukai dari Deloitte Malaysia, Senthuran Elalingam.

Katanya, aspek seperti persiapan awal, penglibatan dan perbincangan adalah kritikal kerana pelaksanaan cukai itu boleh memberi kos tambahan kepada penggiat industri khususnya penyedia khidmat penginapan.

“Kos itu terpaksa diserap oleh pihak pengendali perkhidmatan sekiranya ia tidak dapat ditampung oleh pelancong.

Dalam pasaran pelancongan, katanya faktor penting selain penginapan yang selesa ialah faktor harga.

“Apabila tambahan kos dilaksanakan, ternyata ia akan menjejaskan pengendali pusat.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia pula menyifatkan cukai ini tidak kondusif untuk perniagaan dan menyebabkan pelancong tidak berminat untuk tinggal lama kerana perlu membayar lebih.

Presiden MAH, Cheah Swee Hee berkata rakyat Malaysia akan terjejas sama ada untuk melancong bagi tujuan santai atau perniagaan.

“Ini membebankan rakyat tempatan serta menjejaskan pasaran pelancongan domestik, terutama warga tempatan yang menginap di hotel apabila mengunjungi anak-anak di institusi pengajian tinggi ataupun saudara yang dirawat di hospital,” katanya.

Bagi Sarawak, penginapan hanyalah segmen kecil dalam pelancongan. Sasaran sebenarnya ialah perbelanjaan pelancong.

Sejumlah 4.66 juta pelancong telah mengunjungi negeri ini pada tahun lepas, dan mereka menyuntik kepada ekonomi kita sekitar RM8.37 bilion dengan berbelanja.

Pada tahun ini pula, disasarkan kebanjiran lima juta pelancong asing, yang diramal berbelanja sekitar RM8.98 bilion.

Sehingga April lalu, sejumlah 1.67 juta kehadiran pengunjung telah direkodkan, dan ia melonjak 17.26 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Justeru, berdasarkan fakta ini, kita sebenarnya mahu pelancong memilih negeri ini atas faktor selesa dan murah. Hotel yang murah adalah salah satu tarikan penting, terutama bagi pelancong dan penginap yang membeli atas talian.

Tetapi kelompok inilah kemudiannya yang menyumbang kepada jumlah yang besar perbelanjaan harian.

Oleh itu, Nazri perlu menyemak kembali cadangannya itu. Dan sekiranya masih berdegil, Sarawak boleh mencadangkan untuk menolak Rang Undang-undang itu menyeberang Laut China Selatan. – Sarawakvoice