PKR buat laporan polis terhadap pensyarah universiti, tuduh Baru Bian campur dakyah Kristian dengan politik

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam membuat laporan polis terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menuduh Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian membawa dakyah Kristian, mencampur politik dengan agama, serta ‘meraikan orang-orang Israel’.

Baru, seorang Kristian diterima baik dalam kalangan masyarakat Lun Bawang yang beragama Kristian di Ba Kelalan.

Adun dua penggal di Ba Kelalan itu menang dengan majoriti 538 dalam pilihan raya negeri ke-11.

Laporan polis itu dibuat di balai polis Simpang Tiga di sini susulan dakwaan tidak berasas beliau terhadap Baru yang disiarkan dalam sebuah portal 8 Jun.

Timbalan Pengerusi PKR See Chee How  berkata, ia merupakan percubaan untuk mencetuskan permusuhan antara umat Islam dan Kristian di negeri ini.

Laporan polis itu juga dibuat bagi melindungi keselamatan Baru.

Rombongan Chee How turut disertai setiausaha PKR Nicholas Bawin dan beberapa orang pemimpin serta penyokongnya.

Pemerhati politik di sini menyifatkan Kamarul tidak sensitif dan ingin menjadi juara dan meraih populariti dengan menggunakan agama, tanpa menyedari kesan negatif akibat daripadanya.

Kamarul sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menuduh  Speaker Selangor Hannah Yeoh yang juga ADUN DAP Subang Jaya menyebarkan propaganda Kristian melalui biografi “Becoming Hannah”.

Kamarul yang juga Felo Utama Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) mempersoalkan hujah Baru bahawa perhimpunan “perhimpunan kebangkitan” atau “revival convocation” mengundang kontroversi disebabkan penggunaan istilah “Jerusalem” atau Baitul Maqdis, tanah suci tiga agama yang menjadi titik konflik Israel dan Palestin.

“Tetapi hakikat sebenarnya ialah semua majlis Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) ini, walau guna walau tidak guna perkataan Jerusalem pun, mengandungi semangat Jerusalem sebagai intipatinya,” kata Kamarul seperti dipetik portal berkenaan.

Tambah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia UUM itu,  Baru sendiri meraikan “orang-orang Israel” dalam bukunya “Long Awakening”.

Menurut Kamarul, kandungan buku Baru membuktikan semangat agamanya dicampuri politik.

“Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah apakah sokongan Baru Bian, yang merupakan pengerusi PKR Sarawak, terhadap Revival Convocation (Perhimpunan Kebangkitan) bermakna PKR Pusat turut sama menyokongnya?” tanya beliau. – Sarawakvoice