KUCHING: Kesengsaraan pengunjung Hospital Umum Sarawak (HUS) yang berdepan masalah mencari kawasan meletak kereta bakal berakhir apabila kawasan parkir 13 tingkat siap dalam tiga tahun lagi.

Projek pembinaan bangunan tujuh tingkat sebelah utara dan enam tingkat di sebelah barat Hospital Umum Sarawak (HUS) menelan kos RM351 juta sudah bermula 20 Mei lepas.

Projek yang dijangka siap pertengahan 2020 itu, turut meliputi projek naik pembinaan tiga blok bangunan; Pusat Jagaan Harian dan hotel bajet iaitu Medi Hotel.

Menurut  Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim dalam satu kenyataan  media yang dipetik sebuah akhbar, projek turut melibatkan pembinaan tiga laluan baharu sebagai pintu masuk dan keluar HUS bagi membantu melancarkan aliran trafik HUS.

Menurut beliau, projek pembinaan parkir kereta bertingkat yang ditunggu sekian lama merupakan antara komponen penting Projek Menaik Taraf HUS yang diusahakan secara Public Private Partnership.

Pada bangunan parkir kereta bertingkat tersebut turut tersedia kemudahan lapangan bagi pendaratan helikopter atau helipad.

Projek naik taraf parkir HUS yang dicadang bermula 2013 tertangguh disebabkan beberapa faktor teknikal.

Masalah parkir kereta telah membelenggu pengunjung HUS untuk sekian lama sehingga menimbulkan masalah.

Beberapa pihak mengambil kesempatan itu untuk membuka kawasan parkir dengan mengenakan bayaran yang agak tinggi di kawasan berdekatan.

Para pengunjung yang terdesak terutama pada waktu puncak tidak mempunyai pilihan selain parkir di kawasan terbabit.

Dengan siapnya bangunan bertingkat untuk parkir, mereka berharap, masalah berkenaan akan selesai secara tuntas.

“Saya beberapa kali terpaksa parkir di luar dengan dikenakan bayaran yang tinggi. Saya tak ada pilihan kerana kadangkala kawasan parkir di dalam sudah penuh. Saya harap dengan siapnya kawasan parkir bertingkat nanti, masalah ini akan berakhir,” kata seorang pengunjung HUS yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Kassim. – Sarawakvoice