Jangan ambil mudah bertemu skuad B-22 China – Kim Swee

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menggesa anak buahnya agar tidak mengambil mudah kemampuan pasukan B-22 China apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan di Stadium Pusat Sukan Xiangtan di China, pada Jumaat.

Beliau berkata walaupun masing-masing berkongsi kekecewaan selepas seri 1-1 pada Kejohanan Piala Dubai B-23 di Emiriah Arab Bersatu, Mac lepas, perlawanan hari ini sudah tentunya berbeza kerana kedua-dua pasukan sudah membuat rombakan besar-besaran selepas kejohanan berkenaan.

“Saya percaya aksi persahabatan ini juga penting kepada China kerana mereka bakal menjadi tuan rumah pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak B-23 AFC 2018,” kata Kim Swee pada sidang media menjelang perlawanan berkenaan, pada Jumaat.

Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan muda negara, Mohd Adib Zainuddin yang berharap rakan sepasukan dapat menampilkan aksi terbaik pada perlawanan persahabatan tersebut.

“Saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat mempamerkan aksi terbaik kerana kita dalam persiapan menghadapi Sukan SEA dan juga kejohanan kelayakan B-23 AFC,” kata pemain pertahanan Felcra FC itu.

Selepas perlawanan menentang skuad B-22 China, anak buah Kim Swee akan berdepan pasukan pelapis Guangzhou R&F dan Guangzhou Evergrande, sebelum pulang ke tanah air pada 13 Jun.

Aksi jelajah China itu adalah sebahagian persiapan skuad muda negara sebelum mengharungi pusingan kelayakan B-23 AFC 2018 yang berlangsung dari 19 hingga 23 Julai ini, dan juga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama dua musuh tradisi dari ASEAN – Thailand dan Indonesia serta Mongolia pada aksi kelayakan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Thailand. Bernama