Tidak perlu takut kepada Tan Sri Isa, beliau hanya manusia biasa, kata Pas

KUALA LUMPUR: Pas berkata, adalah sesuatu yang pelik apabila Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FGV seolah-olah mempunyai kuasa yang lebih daripada Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai Pengerusi Felda.

“Tukar sahaja Tan Sri Isa dengan orang lain,” kata Naib Presiden Pas dalam satu kenyataan, hari ini.

“Cuba ganti dengan orang yang profesional yang mengetahui selok-belok perniagaan di Felda. Hentilah dengan melantik orang politik yang tidak profesional untuk kendalikan agensi yang cukup besar,” tambahnya.

Menurut  Idris Ahmad, Felda perlu ada wakil  dalam  Felda Global Ventures Holding (FGV)  untuk menjaga kepentingan Felda dan peneroka.

“Tan Sri Isa perlu sedar kedudukan Felda lebih besar daripada FGV,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“FGV ibarat anak, manakala  Felda ialah bapa. Anak tidak ada, jika bapa tidak wujud,” katanya.

“Felda pemegang terbesar dalam FGV, tiba-tiba seolah-olah Pengerusi Felda tidak boleh buat apa-apa kepada Tan Sri Isa. Walau Felda sudah meluluskan tiga wakil di dalam FGV, namun tidak ada apa-apa perubahan,” jelasnya.

Ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri, dan Felda  pula di bawah Jabatan Perdana Menteri mesti bertindak berani demi kemaslahatan warga Felda.

Pelbagai pihak mendesak supaya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu melepaskan jawatannya.

Antara yang membuat gesaan berkenaan  setakat ini ialah Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F), Pas dan juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – Sarawakvoice