Sarawak rangka strategi baharu hadapi Kelantan tanpa Ronny Harun — David

KUCHING: Sarawak terpaksa merangka strategi baharu untuk mengukuh kubu pertahanannya apabila berhadapan dengan Kelantan dalam saingan Liga Super di Kota Bharu pada 1 Julai depan, kata pengendali, David Usop.

Ini berikutan kapten serta tonggak pertahanannya, Ronny Harun tidak dapat diturunkan setelah mengutip tiga kad kuning, termasuk ketika aksi menentang Perak sebelum ini.

“Saya perlu menggunakan baki pemain yang ada dan akan menguji mereka bagi mengisi posisi penting Ronny itu.

David berkata, pasukannya baharu memulakan latihan minggu ini selepas sambutan Gawai dan Pesta Kaamatan.

“Minggu pertama latihan, pemain masih menyesuaikan diri dengan corak latihan malam pada bulan Ramadan.

Kita jangkakan latihan akan lebih berat dan sepenuhnya pada minggu depan,” tambahnya lagi.

Katanya, masih terlalu awal untuk memaklumkan congakan baharu pasukannya, serta bentuk strategi yang bersesuaian ketika menentang The Red Warrior.

“Setelah berehat agak panjang dan dalam usaha membina momentum, kita kini merancang untuk mengadakan dua atau tiga perlawanan persahabatan, bagi menguji kemantapan barisan baharu.

“Perlawanan ujian ini bagaimanapun masih dalam proses perbincangan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, mengenai prestasi dua import baharu — Milos Raicovic dari Montenegro dan Sahil Suhaimi dari Singapura —  David berkata, juga masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka.

“Kemampuan sebenar dua pemain baharu ini belum terserlah kerana ketika aksi menentang Perak, mereka hanya sempat berlatih dalam kem Sarawak selama dua hari.

“Sudah ada nampak bentuk permainan yang kita hajati tetapi belum wujud keserasian dalam kalangan mereka.

Sehubungan itu katanya, dalam tempoh sebulan berbaki ini, beliau akan berusaha membaiki gandingan ini, terutama persefahaman di antara bahagian jentera tengah dan serangan.

Berkaitan kedudukan Sarawak yang kini meningkat satu anak tangga susulan kejayaan mencuri satu mata dalam aksi menentang Perak, David berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan tersebut.

“Kita tahu akan kedudukan Perak yang agak bagus, dan kita berjaya mendapatkan satu mata di tempat lawan.

“Oleh itu, untuk memperbaiki kedudukan dalam pusingan kedua ini, kita tidak ada pilihan … perlu menang di tempat sendiri.

“Tiada istilah seri ataupun kalah lagi,” tegasnya. – Sarawakvoice