PRU-14 di Sabah: ‘Ini Kalilah’ atau ‘Lain Kalilah’?

Sabah terkenal dengan negeri yang mempunyai banyak parti, termasuk parti baharu.

Sebanyak 13 buah parti politik dari Sabah  telah didaftarkan secara sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(JPPM) selepas Pilihan Raya Umum ke-13 sehingga bulan Disember 2013.

Parti berkenaan ialah Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Cina Sabah, Parti Damai Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah, Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Kebenaran Sabah, Parti Pembangunan Warisan Sabah, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah, serta Parti Kerjasama Rakyat Sabah.

Jumlah ini cukup besar berbanding dengan  lima buah  parti politik berjaya didaftarkan di Sarawak secara sah.

Parti berkenaan ialah Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, Parti Bumi Kenyalang, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu dan Parti Rakyat gabungan Jaksa Pendamai serta Parti Tenaga Rakyat Sarawak.

Persoalannya, adakah kehadiran beberapa parti baharu di Sabah mampu menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri akan datang?

Adakah Parti Warisan yang diketuai bekas Naib Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Shafie Afdal  dapat menembusi kawasan lain, selain daripada kawasan Timur Sabah?

Kini, pelbagai ramalan berkaitan politik Negeri di Bawah Bayu itu.

Ada yang berkata, BN Sabah akan tumbang kepada pembangkang, malah sekitar 15 kerusi Parlimen BN juga akan kalah.

Kerusi yang dikatakan berisiko tinggi ialah kerusi di kawasan masyarakat KDM – Kadazan, Dusun, Murut.

Adakah ini punca ura-ura untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan tidak diteruskan?

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dikatakan benar-benar mahu pilihan raya diadakan.

Namun, bulan Mac dan Mei, bulan pilihan raya berkenaan diramalkan diadakan, sudah pun berlalu.

Setidak-tidaknya bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Rosnah Rashid Sirlin  penubuhan parti baharu berkenaan hanya sebagai ‘kocakan biasa’.

Walaupun dilihat sebagai ‘kocakan ataupun ancaman kecil’, namun beliau menggesa ahli Umno untuk meneruskan kerja-kerja parti.

Ini bagi menangkis usaha pihak pembangkang dalam mengelirukan rakyat khususnya di Sabah ini kononnya pemimpin Umno tidak mampu membawa kemajuan di negeri ini.

“Di Sabah ini isunya agak berbeza sedikit, pihak pembangkang mainkan isu tanah, pemilikan tanah dan sebagainya namun kita faham dan tahu bahawa mereka juga tidak akan mampu menyelesaikan isu tersebut namun mereka tetap menaburkan janji-janji manis untuk memikat hati rakyat Sabah bagi menyokong mereka,” katanya dalam satu ucapan di Papar.

“Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai antara kaca dan permata kerana mereka sudah mengenali dan tahu di sebalik kepimpinan parti baru siapa orangnya,” tegasnya.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, kalaulah  pemimpin parti Warisan Sabah itu benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat Sabah, seharusnya beliau melakukannya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dahulu.

Hakikantya, akan menjadi realitikah ungkapan, “Ini Kalilah”, atau akan berlaku “Lain Kalilah” seperti yang terjadi pada 2013?

Bagi BN, ia tidak boleh mengambil mudah pilihan raya kali ini. Kekuatan dan pengaruh parti pembangkang tidak boleh dipandang enteng.

Mereka tidak boleh berkata, segalanya beres, kerana banyak isu yang perlu ditangani dengan berkesan termasuk isu janji-janji yang tidak dikotakan.

Inilah isu yang bakal menghantui BN. BN tidak ada pilihan kecuali menunaikan janji-janji berkenaan sebleum  PRU nanti.

Isu duri dalam daging yang juga tidak mudah ditangani, dan sentiasa dimainkan oleh pembangkang ialah Perjanjian Malaysia dan isu Perkara 20.

Isu ini kini benar-benar menambat pengundi di kawasan tertentu, termasuk di kawasan KDM. – Sarawakvoice