Mawan dijangka digugurkan dalam PRU-14, kerusi diberi kepada PDP

SARATOK:  Kedudukan Tan Sri William Mawan  Ikom yang kini tanpa parti terus menjadi teka-teki menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Adakah beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Saratok atau bakal digugurkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg?

Ketika di bawah kepemimpinan Tan Sri Adenan Satem sebelum ini, Mawan yang flamboyan atau bergaya  itu, dilaporkan sanggup ikut arahan, termasuk terjun dari tingkat lima bangunan – jika beliau diarahkan berbuat demikian.

Hakikatnya, bagai tiada sinar di hujung terowong bagi bekas presiden SPDP dan Teras itu.

Mawan yang kerap melompat parti akhirnya, tiada parti untuk bergayut.

Kedudukannya yang terkapai-kapai, dan diburukkan lagi  dengan prinsip BN negeri tidak membenarkan seorang wakil rakyat mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sekali gus.

Hal ini, kata penganalisis politik menyebabkan kedudukan Mawan yang pernah memohon untuk menyertai PBB sebelum ini, kian goyah.

Apatah lagi, kini Parti Progresif Demokratik (PDP) telah menyatakan komitmennya untuk bertanding di Saratok.

Pada PRU-13, kerusi berkenaan diwakili SPDP, dan telah dimenangi Mawan yang ketika itu menjadi Presiden.

Beliau menewaskan Ali Biju dari PKR dengan majoriti yang merudum sebanyak 2,081.

Pada ketika itu, beliau berjanji untuk memberi semua elaun  sebagai Ahli Parlimen kepada rakyat Saratok.

Mawan kemudiannya keluar SPDP pada Mei 2014, susulan krisis dalam parti, dan seterusnya menyertai Teras pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Akhirnya, Wong juga keluar parti, menyertai UPP.

Pada tahun lalu, Mawan menjadi calon langsung Barisan Nasional di Pakan, yang diwakilinya untuk beberapa penggal, juga menang dengan majoriti kecil, sebanyak 426 undi.

Difahamkan, PDP kini mempunyai beberapa calon berpotensi untuk ditampilkan di Saratok yang dipercayai dapat memberi kemenangan besar kepada BN.

Populariti Mawan dikatakan semakin terjejas.

Menurut penganalisis, jika Mawan dicalonkan semula, besar kemungkinan majoriti undi yang dimenanginya akan menjunam teruk, kalaupun tidak tewas.

Namun, beliau percaya, Mawan tidak akan menjadi calon Barisan Nasional di kerusi terbabit kerana kerusi Saratok secara tradisi ialah milik SPDP (kini PDP). – Sarawakvoice