Jangan pukul kerana marah, serahkan kepada pihak berkuasa

KUALA LUMPUR:   Presiden  Pas  menyeru  rakyat Malaysia agar menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum dan bangsa di negara ini dan tidak mengelak daripada bertindak sendirian yang bertentangan dengan undang-undang.

“Lapor dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Bertindak sendirian seperti memukul kerana marah tanpa usul periksa dan siasatan boleh mengundang insiden yang mengakibatkan kecederaan parah dan kematian,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Ujarnya, adalah merisaukan apabila melihat beberapa insiden yang tular di  media sosial dengan wujudnya satu gejala baharu dalam masyarakat seperti pukul sebelum dibawa kepada pihak berkuasa dan tanpa soal siasat sehingga membawa kes kematian dan budaya membuli.

Keadaan ini, katanya telah mengundang suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan menimbulkan ketegangan antara kaum dan bangsa.

Menurut  Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, rakyat Malaysia sinonim dengan budaya ketimuran yang lemah lembut dan sopan santun bersesuaian dengan Rukun Negara, iaitu kesopanan dan ketatasusilaan.

“Amat tidak wajar budaya samseng wujud dan membiak dalam negara ini yang tidak memberi faedah dan kebaikan kepada pembangunan negara dan bangsa Malaysia,” tambahnya.

Komen beliau itu susulan beberapa kejadian lelaki memukul mangsa sehingga ada yang maut dan cedera. Dalam kejadian terbaharu di Pulau Pinang, seorang pemandu  Uber yang didakwa menyuruh seorang penumpang wanita memegang kemaluannya ketika menaiki keretanya telah dipukul sekumpulan lelaki.

Wanita dan beberapa orang lelaki terbabit telah ditahan polis, semalam.

Sebelum itu, seorang lelaki di Alor Setar yang didakwa cuba memperkosa seorang wanita di pusat beli-belah turut ditendang dan dipukul sehingga akhirnya maut. – Sarawakvoice