Bekas Naib Presiden FAM, wakil rakyat meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meninggal dunia di Hospital KPJ Ipoh pada pagi tadi.

Adik Allahyarham Raja Azizah berkata abangnya menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini akibat jangkitan kuman setelah dimasukkan ke unit kecemasan hospital pada petang semalam.

Raja Ahmad Zainuddin, 69, juga dipercayai tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke dalam wad sehingga disahkan meninggal dunia sebentar tadi.

Raja Ahmad Zainuddin, 69, merupakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah dan Adun Batu Kurau serta bekas anggota parlimen Larut dari 1999 hingga 2008.

Bernama melaporkan jenazah akan dibawa ke kediamannya di Ampang, di sini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Bendahara selepas solat Jumaat.

Selain itu,  beliau pernah menjadi pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan dan pengarah Lembaga Urusan Tabung Haji.

Beliau juga pernah menjadi ketua editor Berita Perak dan penulis di Berita Harian. – Sarawakvoice