Tangani kemelut FGV dengan bijaksana, adil

Pergolakan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menarik perhatian ramai.

Sesungguhnya, perseteruan antara dua peneraju utama itu amatlah memalukan, dan tidak sewajarnya berlaku.

Krisis pemimpinan tertinggi syarikat ternama itu perlu segera ditangani dengan berkesan.

Jika tidak, konflik berkenaan bukan sahaja akan menjejaskan reputasinya, tetapi juga merugikan sekitar 112,000 peneroka.

Harus diingat, bagi Barisan Nasional, banyak kerusi Parlimen dan DUN di kawasan Felda bakal dipertaruhkan jika para peneroka berasa kebajikan dan kepentingan mereka tidak ditangani dengan bijaksana.

Selain itu, sudah pasti jika tidak diselesaikan segera, isu berkenaan akan menggugat kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap agensi perladangan bersepadu terbabit.

Konflik membabitkan Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sebaliknya, ia perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana Felda merupakan syarikat besar dalam aktiviti perladangan negara.

Sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di bursa dan mencakupi pelaburan pelbagai pihak, sudah tentu pihak yang diamanahkan untuk menerajuinya sedar akan kesan dan implikasinya jika mereka berkelahi secara terbuka.

Sudah tentu, sentimen pelabur akan terhakis jika kemelut ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh dan sistematik, sekali gus menyebabkan saham FGV merudum saban.

Sehingga kini empat pegawai kanan FGV diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Kelmarin, Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad mengeluarkan arahan bercuti itu kepada empat pegawai kanan berkenaan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan untuk menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Mereka yang diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.

Dalam menangani kemelut yang melanda ini, perlu dipastikan bahawa ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab, telus, saksama dan objektif.

Dengan itu, tiada pihak yang teraniaya atau silap dalam membuat keputusan kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan perjalanan syarikat terbabit yang begitu penting bagi rakyat, terutamanya para peneroka.

Dalam hubungan ini, pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan Zakaria dan tiga lagi  pegawainya dapat dianggap sesuai dan munasabah.

Idris,  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd dilihat tidak mempunyai kepentingan dan telah terbukti memiliki wibawa tinggi.

Sekurang-kurang tidak adalah timbul isu berat sebelah dan tiadalah penglibatan dari pihak dalaman atau pegawai.

Lagipun, beliau bukan ahli atau pemimpin Umno.

Anak Sarawak itu pasti dapat menjalankan tugasnya dengan baik, adil dan penuh akauntabiliti.
Idris diminta untuk meneliti fakta kes  dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.

Pelantikan Idris tentu dapat  merungkai segala kemelut yang melanda FGV.

Yang penting, Idris diberi kebebasan untuk menjalankan tugasnya.

Kedua-dua pihak tidak boleh dibiarkan terus melancarkan perang melalui media. Sebaliknya, lebih baik mereka biarkan pihak berkuasa tanganinya dengan adil.

Bagi rakyat, setakat ini, sukar untuk menentukan tindakan siapa yang betul, dan sama ada tuduhan yang dilemparkan boleh diterima.

Bagi rakyat, yang penting, FGV tidak mengalami kerugian.

Untuk itu, ia perlu diurus dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Pihak yang diberi amanah tidak harus menyalahgunakan kuasa  untuk kepentingan diri dan kroni.

Kini, difahamkan kemelut yang berlaku cuba diredakan apabila kedua-dua pihak sudah menerima arahan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.

Kedua-dua pemimpin yang terbabit difahamkan telah dipanggil ke Putrajaya.

Kemelut yang melanda FGV perlu ditangani dengan bijaksana dan cepat sebelum para peneroka dan rakyat membuat pelbagai tanggapan sehingga turut menjejaskan imej kerajaan. – Sarawakvoice