Pekebun kecil kongsi kejayaan ceburi industri sawit

Siapa sangka industri sawit yang dahulunya tidak dihiraukan kini menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan memberi manfaat banyak kepada pekebun-pekebun kecil yang berani menceburi penanaman sawit walaupun berdepan banyak cabaran.

Baru-baru ini, industri sawit negara menyambut ulang tahun ke- 100 dan diadakan satu majlis besar-besaran di Ladang Tennamaram bagi meraikan pekebun kecil yang terlibat secara aktif dalam pembangunan industri sawit negara.

Ladang Tennamaram menjadi ikon kepada industri sawit negara kerana di sini bermulanya penanaman sawit sawit secara komersil yang diusahakan seorang usahawan dari Perancis, Henri Fauconnier pada 1917. Sejak itu, industri sawit negara berkembang pesat sehingga kini menjadi pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia dengan eksport berjumlah RM67.6 bilion iaitu kira-kira 8.6 peratus daripada jumlah eksport barangan negara.

Pelbagai cabaran perlu dilalui oleh pekebun kecil sawit negara, salah seorang pekebun, Ahmad Sidek, 60, berkongsi pengalaman dalam mengusahakan ladang sawit miliknya pada usia remaja 28 tahun lagi.

“Masa mula-mula dahulu tidak ada teknologi memang susah, nak dapat dua tan sekali tuai memang susah tapi sekarang ini dengan teknologi yang kita amalkan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), umur 21 bulan kita sudah tuai,” kata Ahmad mengenai pengalamannya pada awal-awal menceburi industri sawit.

Selain berdepan kekangan cabaran teknologi zaman dahulu, Ahmad juga berkata pada awalnya orang sekeliling tidak bersetuju dengan keputusan beliau untuk menanam sawit kerana persepsi mereka ketika itu tidak wajar meninggalkan warisan nenek moyang sejak sekian lama menanam kelapa koko.

“Bila saya ubah tanaman kelapa koko kepada sawit, ramai orang tak setuju kerana seolah-olah bagi mereka itu tinggalkan warisan nenek moyang kita, itu persepsi pekebun kecil waktu itu,” katanya yang sudah memiliki kebun sawit seluas 2.57 hektar.

Ahmad juga menyifatkan langkah kerajaan yang sentiasa memantau dan aktif melakukan pemasaran sawit juga banyak membantu pekebunpekebun kecil dalam memperoleh hasil yang tinggi. “Kita juga dengar tadi PM bagaimana kerajaan mempromosikan sawit kepada negara China, itu sebab harga akan stabil berbanding kelapa,” katanya.

Ahmad merupakan individu pertama melibatkan diri dalam industri sawit di Kampung Tebuk Berihun, Sabak Bernam, Selangor dan antara pekebun kecil yang paling berjaya. Pada 2016, kebun sawit beliau mencatatkan hasil tahunan sebanyak 24.19 sehektar. Hasil tertinggi adalah pada 2007 dengan pengeluaran sebanyak 48 tan sehektar.

Dalam pada itu, seorang pekebun kecil dari Sabah, Mohd Sobri Dimeng, 41, turut berkongsi pengalamannya sehingga sanggup melupakan peluang melanjutkan peluang belajar ke luar negara semata-mata mahu merealisasikan hasrat bapanya untuk menyambung legasi warisan keluarga yang ditinggalkan dalam mengusahakan kebun sawit. Bekas graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Dengan Kepujian itu membuat keputusan untuk mengusahakan ladang sawit pada 2004 dengan keluasan 35.2 hektar.

“Ayah saya mengambil keputusan memberi peluang kepada saya untuk meneruskan usaha arwah, sejak itu 2004 saya menjaga ladangnya. Saya memang dilahirkan dalam industri sawit. “Ayah saya kerja dengan di ladang sawit sebagai buruh kasar, beliau kumpul wang beli sedikit demi sedikit tanah kerana waktu itu harga tanah masih rendah,” kata Mohd Sabri.

Walaupun datang daripada keluarga yang mengusahakan sawit, Mohd Sabri masih kekurangan pengalaman namun bantuan dan tunjuk ajar daripada Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dan Jabatan Pertanian kini beliau merupakan antara pekebun yang paling banyak mencatat hasil tahunan.

“Cabaran saya hadapi, pengalaman masih kurang, tapi bantuan MPOB dan Jabatan Pertanian kita belajar sedikit demi sedikit macam mana cara pengurusan sistematik kebun,” katanya.

Pada 2016, kebun beliau mencatatkan hasil tahunan sebanyak 31.33 tan sehektar dan hasil tertinggi yang dicatat adalah pada 2014 dengan sebanyak 39.2 tan sehektar. Mohd Sobri menyifatkan langkah menceburi industri sawit berbaloi dan ia juga berjaya mengubah kehidupannya sekeluarga yang dahulunya ia bersifat sara diri tapi kini mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Memang banyak perubahan, bagi keluarga saya pada awalnya ia pertanian bercorak rendah maksudnya untuk sara diri sahaja selepas itu kita mengusahakan tanah sendiri ia mula meningkatkan taraf kehidupan sekeluarga,” ujarnya.

Ayah Mohd Sobri dahulunya seorang penoreh getah sebelum bertukar dengan bekerja di kebun sawit Sime Darby. Menurut Mohd Sobri, dalam mana-mana industri ia pasti ada turun naik sama seperti juga dalam industri sawit dimana harga minyak sawit ada jatuh dan naik.

“Harga sawit kita kena tahu juga, ia ada turun naik tapi ini sebahagian asam garam industri “Kita perlu maksimumkan pengeluaran dan minimun kos, maksudnya margin keuntungan kita masih sama dan jika jatuh pun sedikit sahaja,” katanya.