FAS sokong gantung seumur hidup pemain rasuah dan jual perlawanan

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyokong sepenuhnya keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantung seumur hidup mana-mana pemain dan pegawai yang terlibat dalam rasuah dan jual perlawanan.

Presidennya, Datuk Mohd Posa Majais berkata, tindakan itu selaras dengan kesungguhan serta komiten FAS dalam mengekang serta melenyapkan terus segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang mungkin ada dalam organisasi tersebut.

“Kerana itu, kita menjayakan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini.

“Kita berharap dengan adanya jalinan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini, kita akan dapat memastikan tidak akan berlaku sebarang bentuk rasuah, mengatur perlawanan dan salah guna kuasa, khususnya di negeri Sarawak,” katanya pada Majlis IBR FAS di Kuching.

FAS merupakan organisasi ke-11 yang melaksanakan IBR di Sarawak dan pasukan bola sepak negeri keenam di Malaysia, dengan yang terakhir adalah Persatuan Bola Sepak Kedah.

Hadir menyaksikan Majlis IBR itu ialah Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman.

Menjelas lanjut, Posa berkata, dengan indikator ikrar ini, FAS diharap dapat melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berprestasi tinggi, berkualiti dan berintegriti.

“Kita juga berharap, inisiatif yang diambil pada hari ini akan dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat dan peminat terhadap sukan bola sepak tanah air,” katanya lagi.

Dalam majlis itu, semua pemain Liga Super Sarawak membaca dan menandatangani ikrar bebas rasuah.

Ia dijangka diikuti oleh skuad Piala Presiden, pasukan belia dan pemain Liga FAM Kuching FA.

Turut mengangkat sumpah, Ketua Jurulatih Ngap Sayot, David Usop. – Sarawakvoice