Bekas Adun Pujut kemuka saman batal keputusan Dun Sarawak singkirkan beliau

KUCHING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon petang tadi memfailkan saman pemula berikutan penyingkirannya daripada DUN Sarawak, yang disifatkan sebagai tidak sah dan mencabul perlembagaan negeri.

Saman itu menamakan Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Datuk Sri Wong Soon Koh, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sebagai defendan.

Menurut saman pemula tersebut, satu deklarasi perlu diisytiharkan bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Pujut sehingga proses kes ini selesai.

Pada masa yang sama, plaintif turut menuntut agar keputusan DUN untuk melucutkan kelayakan plaintif sebagai Adun Pujut oleh defendan pertama susulan usul kementerian defendan kedua pada 12 Mei lepas, yang kemudian dipersetujui oleh 70 anggota Dewan Undangan Negeri sebagai tidak sah dan batal kerana ultra vires atau di luar bidang kuasa.

Untuk saman ini, Tiong Choon diwakili oleh peguam-peguam Parti Tindakan Demokratik yang diketuai Chong Siew Chiang.

Chieng Jen berkata, disebabkan oleh kes ini akan berjalan di mahkamah, sewajarnya segala hak dan renumerasi yang dinikmati Tiong Choon sebagai Adun Pujut sebelum ini dikembalikan.

“Proses pelucutan Tiong Choon oleh Dewan Undangan Negeri adalah bertentangan dengan prinsip keadilan.

“Oleh itu kita mahu mendapatkan deklarasi bahawa tindakan Dewan Undangan Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Sarawak terutama Artikel 17(1)(g) juga Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa untuk menyatakan ‘hilang kelayakan’ terhadap plaintif hanya dapat dilakukan menerusi petisyen Pilihan Raya seperti termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tegasnya lagi.

Berhubung dengan tarikh penamaan calon yang telah ditetapkan pada 20 Jun ini, serta tarikh pilihan raya pada 4 Julai depan, Chieng Jen berkata SPR seharusnya lebih tahu akan tindakan yang perlu dilakukan susulan saman tersebut.

“SPR sepatutnya tahu apa yang hendak dilakukan selepas saman ini difailkan dan seharusnya bertindak sewajarnya.

“Saya hendak lihat sama ada mereka mengabaikan keseluruhan proses mahkamah,” katanya lagi.

Chieng Jen berkata demikian selepas memfailkan saman kes tersebut secara talian di Kompleks Mahkamah Kuching.

Saman itu mengkehendaki lima defendan hadir di mahkamah pada 10 Julai ini. – Sarawakvoice