Siapnya jalan feeder hubungkan Kpg Sg Kut-Dalat, hadiah Gawai, Aidilfitri

DALAT: Penduduk Kampung Sungai Kut Muara gembira apabila jalan utama Dalat berturap menuju ke kampung mereka mula dibuka kepada umum pagi Ahad lepas.

Sebelum ini jalan tersebut tidak begitu sempurna dan rosak dan berlubang.

Jalan sejauh 1,150 meter menelan kos RM1.8 juta itu menghubungkan Kampung Sungai Kut Muara dengan jalan utama Dalat-Sungai Kut memudahkan pergerakan penduduk sekitar.

Lebih manis lagi, penyiapan jalan tersebut dianggap sebagai hadiah istimewa untuk penduduk kampung sempena sambutan Gawai Dayak dan bakal menyusul Aidilfitri.

Memetik Utusan Sarawak pada Selasa, dengan siapnya jalan tersebut, penduduk berharap isu jalan sempit dengan penduduk gemar meletakkan kenderaan di bahu jalan selesai.

Kini, penduduk dapat memparkirkan kereta masing-masing di halaman rumah sendiri dan tidak mengganggu pengguna di jalan

Penduduk menghargai usaha gigih Menteri Kebajikan, Komuniti Kesejahteraan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak  merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) N56 Dalat, Datuk Hajah Fatimah Abdullah mendapatkan peruntukan membina jalan raya tersebut.

Projek Jalan feeder, prasarana skala kecil ini dilaksanakan oleh Rejimen Angkatan Tentera Di Raja Malaysia (ATM) Bersenjata.

Pihak ATM bekerjasama membina jalan ini bersama-sama penduduk setempat, Unit Kerjasama Swasta (Ukas) serta Pemantauan Pelaksanaaan Projek Negeri (Simu) bermula Jun 2016 dan siap dalam tempoh setahun. – Sarawakvoice