Siapa Aziz Isa hendak perlekeh sumbangan Tok Nan

Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa kembali membuat kenyataan provokatif baru-baru ini, rutin setiap kali menjelangnya pilihan raya.

Ketika ditemui wartawan sebuah portal berhubung cadangan Adun Muara Tuang, Datuk Idris Buang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri lalu untuk menukarkan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem, beliau terus melenting.

Dipetik kenyataannya kepada portal tersebut: “Oleh kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Adun Pujut, Dr Ting (Tiong Choon), Dewan Undangan Negeri boleh menukar nama negeri kepada Adenan Satem dengan hanya menulis (mencadang).

“Mereka seharusnya menukar nama Bangunan Sultan Iskandar kepada Bangunan Adenan Satem, menukar nama Padang Merdeka kepada Padang Adenan Satem, Jalan Tun Openg kepada Jalan Adenan Satem dan Jambatan Tun Abdul Rahman Ya’akub kepada Jambatan Adenan Satem.

“Petra Jaya juga boleh dinamakan Adenan Jaya dan Brooke Dockyard kepada Adenan Satem Dockyard. Sekolah lama Adenan, St Joseph’s juga boleh dinamakan semula sebagai Adenan’s School.

“Saya bukan sarkastik. Saya hanya menambah kepada cadangan YB Idris Buang…”

Ya, beliau bukan sarkastik. Tetapi mula ke arah mempermainkan.

Apakah maksud di sebalik kenyataan “tidak sarkastik” beliau itu. Apakah salah bagi seorang wakil rakyat membuat cadangan komemoratif?

Siapakah Aziz yang menidakkan sumbangan Tan Sri Adenan Satem? Apakah Aziz lupa, Adenan merupakan Ketua Menteri yang pernah membuka pintu kepada pembangkang untuk menyuarakan isu mereka.

Dan kepada penggantinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, pembangkang “naik tocang” untuk meminta peruntukan projek pula!

Demi survival politik, dan juga kecewa dengan tindakan terhadap Dr Ting yang disingkir mudah, ternyata Aziz mula hilang pertimbangan. Yang penting bagi beliau adalah dapat melontar isu pedas dan sensasi, dan namanya menggelegak, bagi membolehkannya sentiasa berada dalam radar politik.

Harus diingat, cadangan Datuk Idris adalah sekadar cadangan, bagi mengingati seorang negarawan. Bagi mengingati pemimpin rakyat yang ditangisi pemergiannya.

Yang tersirat dalam cadangan Datuk Idris ialah wujudkan landmark tertentu yang boleh mengingatkan rakyat kepada Tok Nan.

Apabila Aziz bertindak memperlekeh cadangan itu, ia seolah-olah memperlekeh sentimen rakyat. Rakyat melihat Tok Nan bukan sekadar tokoh politik, tetapi pemimpin rakyat. Pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya.

Seharusnya budak hingusan yang masih gemar berhibur seperti Aziz perlu menginsafi perjuangan Tok Nan. Belajar akan kematangan politik dan kerjaya politik berlakunya, jika ingin menjadi seorang yang disegani. Bukannya melontar ayat ikut sedap mulut, tanpa fikir panjang dan biadap! – Sarawakvoice