“Kita tidak bodoh atau murah seperti mereka katakan” – Dr. Sim

KUCHING: Taktik pembangkang terutama DAP yang sering menggunakan isu agama dan bangsa untuk menghasut rakyat membenci kerajaan tidak lagi berkesan mempengeruhi penduduk Sarawak kerana mereka bukan `bodoh’ sehingga gagal menilai sikap buruk tersebut.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian berkata, rakyat negeri Bumi Kenyalang tidak `bodoh’ dan `murah’ seperti yang digambarkan DAP sebelum ini.

“Kita tahu siapa yang benar dan boleh memberi perkhidmatan dan kita tahu siapa yang pembohong serta menghina kita.

“Kita tidak bodoh atau murah seperti mereka (DAP) katakan,” ujar Kui Hian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Ke-18 di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) yang lalu, ramai penyokong DAP di Semenanjung memuji rakyat Sarawak dan optimis DAP akan menang.

Namun, katanya, selepas BN dapat menewaskan DAP pada pilihan raya berkenaan, ramai dalam kalangan mereka itu telah memanggil rakyat Sarawak bodoh, masih tinggal di atas pokok, murah dan sebagainya.

Selain itu, katanya, jika bekas Ketua Menteri, arwah Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan mempunyai 53 prinsip dan tindakan, DAP pula memilik 53 prinsip yang meragukan.

“Antara prinsip parti pembangkang ini yang meragukan ialah mereka membantah cadangan kerajaan untuk membina menara telekomunikasi di Sarawak dengan menyatakan ia mendatangkan risiko kesihatan.

“Namun, DAP Pulau Pinang juga diserang dan dibantah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana membina menara telekomunikasi tetapi Ketua Menterinya sendiri yang menyatakan bahawa ia tidak mendatangkan risiko kesihatan,” katanya.

Selain itu, Kui Hian berkata, DAP Sarawak tidak harus menafikan bahawa asal usul parti mereka sememangnya berasal dari Semenanjung dan kebanyakan pemimpin dan ahli mereka berada di sana.