Generasi kelima Brooke fasih bahasa Melayu masa kecil, meninggal dunia

KUCHING: Kenyataan akhbar dari Instagram @jbrooke­­_sarawak menulis: “Pada awal pagi Sabtu 27 Mei, ayah saya (James Bertram Brooke), dengan tenangnya telah meninggal dunia di rumahnya susulan tempoh sakit yang singkat.”

Anak James Bertram, Jason Brooke merupakan generasi ke-6 keluarga Brooke yang kini bertindak sebagai Pengarah Galeri Brooke di Sarawak.

Sementara, mendiang James Bertram generasi kelima ialah Pengerusi Brooke Heritage Trust.

James Bertram Brooke

Jason menukilkan ayahnya, James Bertram merupakan anak tunggal Rajah Muda Anthony dan Ranee Muda Kathleen yang dilahirkan di Bombay, India pada 16 Ogos 1940.

James Bertram dinamakan sempena Rajah yang pertama iaitu James, dan akhbar Singapura pernah melaporkan kelahirannya sebagai generasi ke-5, waris kepada kerajaan Sarawak.

Kenyataan media itu menggambarkan James Betram tinggal di Astana semasa kecil dengan bahasa Melayu merupakan bahasa pertamanya.

Diceritakan, ibunya merakam di dalam diari bahawa apabila beliau bercakap dengan James Bertram dalam bahasa Inggeris, anaknya itu akan membalas dalam bahasa Melayu.

Hal ini dikatakan membingungkan kedua-dua ibu bapanya dan guru.

Selepas perang meletus, keluarga Brooke hidup dalam buangan, kenyataan media tersebut mengakui James Bertram membesar di pelbagai kediaman, sementara ibu bapanya gigih berjuang merentasi lautan demi kemerdekaan Sarawak.

James Bertram menerima pendidikan di Eton dengan minatnya mendalam ke atas sukan lumba motor dan beliau pernah menyertai Persatuan Eton (Pop).

James Bertram seterusnya melibatkan diri sepenuh masa dalam sukan yang diminatinya itu dan menyertai perlumbaan di Brands Hatch dan Silverstone, malah hampir-hampir ke Monaco.

“Sepanjang hayat beliau, ayah saya mempertahankan kata-kata seakan-akan mentera iaitu ‘sifat ingin tahu dan kebaikan hati’.

“Beliau gemar mengambil tahu tentang semua perkara – bahasa, teknologi baru, sifat semula jadi manusia, alam itu sendiri, hidup dan mati,” kata kenyataan media tersebut.

Catatan tersebut menambah, “beliau seorang penyair, penggiat seni yang lembut jiwanya, paling gembira ketika keluar berjalan bersama anak-anaknya di lorong tanah tinggi yang terdedah kepada angin, atau di dalam sebuah kapal kecil di perairan bergelora, luar pantai barat Scotland.”

Tulis Jason lagi, bahawa ayahnya itu cukup terkesan dengan zaman kanak-kanaknya serta peristiwa kehilangan Sarawak.

“Pada penghujung hayatnya beliau pernah menyatakan hasrat untuk membuat perjalanan terakhir ke Sarawak demi menyokong kerja Brooke Heritage Trust, dengan beliau ialah pengerusinya.”

James Bertram berfalsafah dan bersifat perwira, sehingga ke akhirnya. Beliau masih mampu untuk ketawa walaupun pada saat menghadapi kematian.

Ujar Jason, “apabila saya bertanya kepada beliau hampir seminggu lalu, ‘percaya ke manakah kita akan pergi apabila kita mati?’, beliau hanya berkata, ‘Kita tak mungkin faham. Namun saya tetap ingin tahu!'”

“Walaupun pada saat berdepan dengan sesuatu yang terlalu genting, beliau tetap mengambil masa untuk memberitahu betapa berertinya mereka yang bersama dengannya – betapa bertuahnya beliau rasa. Sifat ingin tahu dan kebaikan hati, sehingga ke akhirnya,” menurut kenyataan media tersebut. – Sarawakvoice