Kawasan Gambier, Market di Tebingan Kuching dinaik taraf, akan berwajah baru

KUCHING: Kerajaan Negeri merancang untuk jangka panjang membangunkan kawasan perniagaan Jalan Gambier dan Jalan Market di Tebingan Kuching sebagai pusat tarikan perniagaan berwajah baharu.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan semula kawasan berkenaan sesuai dengan hasrat kerajaan merealisasikan Ekonomi Digital Sarawak dan sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

Mengutip Bernama, Abang Johari berkata proses pembangunan berkenaan dikenali sebagai Program Pembaharuan Bandar.

Program ini sedia membangunkan semula kawasan tertentu menjadi kawasan perniagaan berwajah baharu.

Prasarana di kawasan ini dinaik taraf, dilengkapkan dan ditambah termasuk dari segi sektor perkhidmatannya.

Bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada Sabtu, Abang Johari yakin pembangunan semula itu mampu menarik pelabur asing, sekali gus dapat meningkatkan industri perkhidmatan sedia ada di kawasan terbabit.

Abang Johari yang juga ADUN Satok itu berkata, perancangan masih di peringkat awal dan dalam tempoh lima ke 10 tahun, kawasan tersebut dipastikan berwajah baru.

Menurut beliau, merealisasikan perancangan jangka panjang membangunkan kawasan ini tidak semestinya kawasan yang ada nilai sejarah diroboh.

Bahkan, kemudahan baharu akan ditambah selain dinaik taraf menceriakan kawasan tumpuan orang ini termasuk pelancong. – Sarawakvoice