Senarai calon BN di Dun Pujut sedang dimuktamad — Abang Jo

Calon tersebut harus rakyat Malaysia yang sah!

KUCHING: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Pujut pada 4 Julai akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sudah menerima senarai nama calon berpotensi, tetapi akan membuat keputusan secara konsensus pada mesyuarat itu kelak.

“Yang penting, calon kita adalah rakyat Malaysia yang sah!” sindirnya, sambil enggan mendedahkan berapa nama yang telah dikemukakan.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Datuk Bandar Miri yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut, Adam Yii Siew Sang.

Parti Rakyat Bersatu (UPP) pula telah mengemukakan nama Ketua Cawangan Pujut, Bruce Chai selain tiga nama jawatankuasa Cawangan Senadin; Keith Chan, Lawrence Kong, dan Suzanne Lee.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula dijangka menurunkan Setiausaha Negerinya, Alan Ling Sie Kiong.

Alan sebelum ini merupakan bekas Adun Piasau, sebelum kalah kepada Datuk Sebastian Ting.

Menjelas lanjut, Abang Johari mahu jentera BN bekerja lebih kuat daripada biasa kerana ia merupakan kubu kuat pembangkang.

“Saya yakin kita boleh menang…hanya perlu calon yang tepat dan kerja lebih kuat,” katanya lagi ketika ditemui di Pusat Khidmat Adun N8 Satok di sini.

Ditanya apakah jentera BN akan mengikut model yang sama di PRK Tanjong Datu, Ketua Menteri menjelaskan pendekatan berbeza akan diambil.

“Tanjong Datu agak mudah kerana ia kerusi asal dan kubu kuat PBB (Parti Bumiputera Bersatu),” katanya.

Kerusi Dun Pujut kosong setelah penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada DAP hilang kelayakan sebagai anggota dewan setelah disingkir menerusi usul oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh berikutan isu dwikerakyatan.

Keputusan ini mengurangkan kekuatan pembangkang kepada sembilan kerusi, selepas memenangi kerusi tersebut pada Mei tahun lalu.

Sebanyak 70 undi menyokong usul tersebut, manakala 10 undi menentang. Kesemua undi menentang adalah daripada pembangkang.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, Tiong Choon menang kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Tiong Choon memperoleh 8,899 undi menumpaskan calon BN, Hii Kong Chiong (7,140 undi), Jofri Jaraiee (Pas – 513 undi) dan penyandang, Fong Pau Teck (Bebas – 375 undi) – Sarawakvoice