Malaysia kecewa dengan tindakan Trump — Wan Junaidi

KUCHING: Malaysia melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Amerika Syarikat yang menarik diri daripada Perjanjian Paris untuk menangani perubahan iklim dunia, seperti yang diumum Presiden Donald Trump, Khamis lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan tersebut amat mendukacitakan memandangkan Amerika Syarikat seharusnya menjadi negara penting dan paling hadapan dalam menangani isu ini.

“Pentadbiran Presiden Obama sebelum ini amat memberi penekanan kepada perubahan iklim ini, dan sentiasa meletakkannya sebagai agenda tertinggi.

“Kerana komitmen Obama, semua negara di dunia terdorong untuk terlibat sama, hingga ia menjadi satu perjanjian antarabangsa yang amat berjaya,” katanya ketika ditemui di sini.

Wan Junaidi berkata, perjanjian ini dipersetujui pada Disember 2015 dan dimeterai banyak pihak pada April 2016, sebelum diikuti oleh hampir setengah negara lain di dunia.

“Inilah punca kekecewaan kita pada hari ini. Bahkan semua negara di dunia telah menyuarakan kerisauan mereka, seperti Perancis, Kanada dan Jepun.

“Kekecewaan ini berlandaskan fakta bahawa Amerika Syarikat sendiri merupakan negara pengeluar gas rumah hijau yang kedua tertinggi di dunia, selain menjadi pengguna per kapita yang juga tertinggi dunia,” jelasnya.

Dengan tindakan ini, katanya Amerika Syarikat dengan sendirinya melepaskan kebertanggungjawabannya terhadap pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera dunia.

“Tetapi yang menjadi kebimbangan utama ialah akan ada negara-negara lain akan turut jejak langkahnya.

“Perjanjian Paris mempunyai klausa-klausa dengan negara tertentu perlu membantu negara-negara miskin yang bakal terjejas oleh isu ini.

“Kalau negara miskin ini tidak mendapat bantuan, maka mereka akan terjejas sangat,” katanya sambil merujuk Bangladesh, dan pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Pulau Marshall, Maldives dan banyak lagi.

Negara-negara ini berisiko ditenggelami air dalam tempoh 80 tahun dari sekarang.

“Jika ini berlaku, kita boleh letakkan ini sebagai kegagalan Perjanjian Paris itu sendiri,” tegasnya.

Katanya, jika terlalu banyak negara yang keluar daripada Perjanjian Paris dan tidak bertanggungjawab kepada apa yang diikrarkan dalam perjanjian, maka negara-negara membangun di dunia bakal berhadapan impak ini.

“Biarpun Malaysia tidak memerlukan sangat sumbangan negara Barat, tetapi kita perlu kepada teknologi mereka.

“Kerana ada perkara-perkara berkaitan teknologi yang dipaten oleh pihak Barat, yang menjadi pengganti kepada chloro fluoro carbon yang kita gunakan untuk sistem penghawa dingin dan peti sejuk.

Katanya, jika gagal mendapatkan alternatif yang dipatenkan ini, maka banyak syarikat yang akan tutup dan ramai orang yang akan hilang pekerjaan.

“Ekonomi kita akan terjejas sebagai pengeluar penghawa dingin terbesar dunia,” katanya lagi.

Bagaiamanapun ikrar Wan Junaidi, Malaysia akan terus merealisasikan janji dalam Perjanjian Paris ini.

“Sehubungan itu, dalam persidangan di Bonn, Jerman pada November ini, kita menjangkakan gerak kerja berlainan sedikit selepas Amerika Syarikat tidak lagi terlibat,” katanya lagi. – Sarawakvoice