Sokongan terhadap PM kekal utuh di Rajang – James Masing

KANOWIT: Sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal utuh dalam kalangan penduduk di kawasan Rajang di sini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing berkata, sokongan padu itu berjaya diraih oleh Perdana Menteri kerana beliau memahami keperluan rakyat di kawasan berkenaan Menurutnya, Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam, telah membantu menghubungkan Kapit iaitu sebuah pulau dalam kepulauan Borneo dengan kawasan lain di negeri ini.

“Najib telah merealisasikan harapan penduduk Kapit dengan meluluskan sambungan jalan dari Kanowit ke Kapit melalui pembinaan jalan merentasi Sungai Kanowit.

“Jadi, jangan minta kami supaya tidak menghargai jasanya. Beliau adalah Perdana Menteri keenam yang membolehkan perkara ini menjadi kenyataan selepas 54 tahun (pembentukan Malaysia).

“Kami (penduduk) akan menyokong pemimpin yang faham dengan keperluan kami dan Najib memahaminya,” kata beliau dalam sidang media selepas Majlis Prapelancaran Jambatan Kanowit di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, James Masing menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya sokongan rakyat terhadap kerajaan dan Barisan Nasional (BN) dibalas dengan janji kosong. Mengenai Jambatan Kanowit, beliau berkata, projek yang merupakan sebahagian daripada projek pembinaan jalan Kanowit-Kapit, akhirnya menjadi kenyataan kerana rakyat telah memilih wakil yang betul, yang sentiasa berusaha dan berhubung dengan pihak berkuasa.

Jambatan sepanjang 350 meter bernilai RM52 juta itu merupakan fasa pertama yang akan menghubungkan Kapit dengan dunia luar, manakala Jambatan Katibas pula dijangka siap pada Julai ini dan satu lagi laluan adalah Jalan Nanga Ngemah-Nanga Temalat sepanjang 14 kilometer.

“Sebaik sahaja siap, kesemua laluan menghubungkan Kapit akan lengkap dan dari sini, anda boleh ke pekan itu dalam tempoh sejam setengah sahaja,” ujarnya.