Semua syarikat penerbangan di negara ini kekurangan atendan penerbangan dalam pesawat — Nufam

KUCHING: Bukan hanya Malaysia Airlines, situasi lebih buruk berlaku dalam syarikat-syarikat penerbangan lain seperti Malindo dan Air Asia berhubung isu kekurangan atendan penerbangan.

“Mungkin kerana pelan syarikat untuk meminimumkan kos dan pekerja, tetapi hakikatnya jumlah atendan penerbangan di negara ini agak kurang dan tidak menepati nisbah di antara atendan dan penumpang,” kata Presiden Kesatuan Atendan Penerbangan Kebangsaan (Nufam), Ismail Nasaruddin.

Ismail Nasaruddin

Beliau mengulas isu kekurangan atendan penerbangan yang boleh mendatangkan risiko keselamatan, seperti yang berlaku dalam penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur, yang diancam oleh penumpang mabuk, pada Rabu.

Semalam Pengerusi Insititut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye meminta MAS kembali menambahkan bilangan kakitangan penerbangan kepada jumlah asal, bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Ismail berkata, untuk penerbangan antarabangsa seperti Airbus 330, sewajarnya jumlah kru adalah sekitar 12 orang manakala untuk domestik melibatkan Boeing 737, jumlah kru yang bersesuaian adalah sekitar enam orang.

“Untuk penerbangan domestik, rata-rata syarikat penerbangan ketika ini memperuntuk empat kakitangan.

“Malah di peringkat ekstreme, ada yang sehingga tiga orang apabila ada kru yang gagal muncul,” katanya yang pernah menjadi Ketua Pramugara ketika bersama Malaysia Airlines.

Ismail berkata, untuk jaminan keselamatan pula, jumlah atendan lelaki perlu mencukupi dalam setiap penerbangan, bagi menjamin tahap keselamatan serta melaksanakan tugas yang berkaitan kudrat, seperti menangani bagasi dan sebagainya.

“Ini juga bagi menangani penumpang yang agak ‘liar’, yang tidak boleh ditangani oleh atendan penerbangan wanita.

Katanya, pihak NUFAM berkemungkinan akan berbincang dengan Niosh berhubung isu keselamatan ini, bagi menyediakan panduan keselamatan penerbangan yang perlu dipatuhi semua syarikat penerbangan.

“Kita akan mencadangkannya kepada Kementerian Pengangkutan,” jelasnya lagi.

Dalam insiden MH128 itu, khidmat bantuan penumpang terpaksa digunakan untuk menumpaskan seorang lelaki yang mengancam untuk meletupkan pesawat, apabila tidak dibenarkan menuju ke ruang kokpit.

Akibat ancaman tersebut, pesawat terbabit terpaksa kembali ke Lapangan Terbang Melbourne, setelah 20 minit pelepasan. – Sarawakvoice