Jambatan Sungai Kanowit ibarat hadiah sempena Hari Gawai

KANOWIT: Sambutan Gawai Dayak tahun ini cukup bermakna bagi kira-kira 100,000 penduduk Iban yang tinggal di daerah ini apabila tidak perlu lagi menaiki bot atau perahu untuk pulang ke kampung ekoran pembukaan jambatan melintasi Sungai Kanwit di sini.

Pembukaan jambatan pada 27 Mei lalu dianggap satu hadiah kerana ia dapat disiapkan lebih awal hasil kerjasama semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri, kontraktor serta penduduk setempat. Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM52 juta itu dimulakan pembinaannya pada 29 Disember 2014, manakala tempoh siap asalnya ialah 7 Julai tahun ini.

Selamat pulai gawai wai

Katanya, projek yang merupakan sebahagian daripada jajaran jalan perhubungan Kanowit-Song-Kapit sepanjang 101.9 kilometer (km) itu akan menjadi jalan raya utama pertama dibina bagi menghubungkan penduduk di daerah ini dan Kapit.

“Pada hari ini, satu sejarah akan tercipta di mana salah satu jajaran jalan yang akan menghubungkan Kanowit ke Kapit dan ke hulu Sungai Baleh akan dibuka kepada umum sempena Hari Gawai iaitu jambatan melintasi Sungai Kanowit.

“Harapan kerajaan melalui kementerian agar projek ini menepati spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak dan pada masa sama dapat memenuhi keperluan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar semasa Majlis Pra Pelancaran Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Melintasi Sungai Kanowit oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alexander berkata, aspek pembangunan luar bandar sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi kementeriannya yang diberi tanggungjawab untuk memastikan agenda transformasi luar bandar dapat direalisasikan berdasarkan kepada aktiviti yang dirancang.

Menurutnya, melalui pengumuman Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, agenda pembangunan luar bandar terus menjadi perhatian dan keutamaan kerajaan melalui peruntukan pembangunan berjumlah RM583 bilion.

Katanya, peruntukan itu merupakan satu petunjuk bahawa kerajaan begitu serius dalam mentransformasikan infrastruktur asas luar bandar selaras dengan aspirasi ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

Dalam pada itu, Alexander menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat laluan hilang dalam jajaran tersebut kerana masih terdapat proses kerja awal perlu dilakukan.

Jelasnya, pada tahun lalu, Najib telah mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi pembinaan laluan sejauh kirakira 14 km dan kini projek itu dalam proses menyediakan tender.

“Selepas ini, ada dibuat pula rundingan bersama kontraktor yang telah dikenal pasti sebelum pembinaannya dimuktamadkan pada Jun ini bagi Jalan Nanga Ngemah/Nanga Temalat dan Nanga Ngungun/Nanga Ngemah pada September nanti,” katanya.