TUDM jamin kedaulatan ruang udara Malaysia

KUASA udara adalah kuasa yang kritikal dalam sistem pertahanan sesebuah negara.

“Kerana itulah ia perlu sentiasa dipertahankan, diperkuasai dan diperkukuh dari semasa ke semasa,” kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Menurut Panglima yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, dalam situasi geopolitik dan geostrategik sekarang, Malaysia memerlukan ketumbukan kuasa udara yang boleh digerak dan dilancarkan ke barisan hadapan pada kadar segera.

“Maknanya, kita mampu menunjukkan kekuasaan udara kita melangkaui batas sebenar.

“Ia harus efektif kerana dalam keadaan hari ini, kedudukan sekitar Laut China Selatan begitu goyah, dan situasi geopolitik dan landskap keselamatannya sentiasa bertukar,” tambahnya lagi.

Kerana itu katanya, pada sambutan Hari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari ini, tema ” Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara” telah dipilih.

Malaysia jelasnya, perlu sentiasa bersiap sedia kerana kuasa udara yang dimilikinya akan menjadi pengimbang terhadap apa jua isu di Laut China Selatan.

“Kita harus memastikan ketenteraman dan kestabilan serantau boleh ditentukan mengikut cita rasa kita,” jelasnya lagi.

Bagi memastikan kesiapsiagaan ini, katanya TUDM menaik taraf kemudahan di Pangkalan Udara Labuan, yang merupakan pangkalan utama hadapan yang bertanggungjawab untuk melancarkan operasi udara di Laut China Selatan dan timur Sabah.

“Di sini kita tempatkan aset-aset penting untuk menentukan operasi berjalan secara lebih efektif.

Media ketika lawatan tersebut turut disajikan dengan aset ketenteraan udara yang ada di pangkalan tersebut, selain petunjukan kecekapan juruterbang dan anggota ketika melaksanakan operasi.

Kata Affendi, sambutan Hari TUDM juga amat signifikan bagi mengingatkan anggota-anggota TUDM akan kritikalnya sumbangan dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka.

” Dalam keadaan semasa yang menyaksikan kuasa ketenteraan adalah penentu untuk pelbagai jenis konflik ataupun peperangan, maka anggota-anggota TUDM perlu faham bahawa mereka memikul satu tanggungjawab yang amat besar; bukan sahaja untuk menentukan ketenteraman dan kedaulatan negara malah menjamin kestabilan serantau.”

Pangkalan Udara Labuan, katanya kini memiliki banyak infrastruktur pertahanan yang baharu, yang menjadi aset tertentu untuk menyokong operasi yang dilancarkan.

“Jika keadaan memerlukan, kita telah bersedia!

“Inilah langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan untuk menentukan kita sentiasa dalam keadaan selesa dan selamat,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama kata Affendi, kerajaan turut merancang untuk menambah aset yang sedia ada menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas.

“Memang ada perancangan termasuk untuk membeli multi roles combat aircraft, maritime role aircraft, ground based radar dan pelbagai lagi keupayaan terbaharu.

“Namun pada masa ini pembelian ataupun usaha mendapatkan aset-aset ini tertakluk kepada keadaan kewangan semasa negara.

“Jika kewangan mengizinkan, kemungkinan besar kita akan mendapat aset-aset ini dalam jangka masa terdekat untuk mempastikan sistem pertahanan kita sentiasa dalam keadaan relevan dan canggih.

Ketika ini katanya, pembelian terbaharu TUDM adalah pesawat pengangkut Airbus A400 yang jelas lebih pantas dan selesa berbanding pesawat pengangkut lain.

Pada masa yang sama katanya, keupayaan pesawat pejuang negara merangkumi Sukhoi, F18 dan Hawk akan terus dipertingkat bagi memastikan tahap keselamatan ruang udara negara tidak menurun.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu mengaktifkan rondaan maritim secara lebih kerap dan efektif.

Kerana itu katanya, TUDM memerlukan teknologi dron UAV yang mampu melaksanakan elemen tinjauan, risikan dan sebagainya.

Bagi menjayakan usaha ini katanya, sokongan pihak swasta atau syarikat berkait pertahanan amat diperlukan bagi membolehkan sistem pengawasan dilaksanakan secara menang-menang, tanpa terlalu membebankan kewangan kerajaan.

Yang penting kata Affendi, kerjasama semua pihak ini akan memastikan kedaulatan ruang udara negara sentiasa terpelihara, dan tentera udara negara sentiasa disegani di peringkat serantau. – Sarawakvoice