Tambahan RM11 juta setahun untuk jadikan Sarawak “kuasa sukan” – Karim

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan tambahan RM10.9 juta setahun bagi menjayakan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) menjadikan negeri ini sebagai “kuasa sukan”.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut merupakan tambahan kepada peruntukan sekitar RM3 juta setahun yang diperoleh oleh kementerian tersebut untuk menjayakan pelbagai program dan aktiviti sukan di negeri ini.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kita untuk muncul juara dalam bidang sukan ini, kerana melaluinya, kita dapat menangani pelbagai perkara, termasuk isu kemaslahatan belia,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Pusat Latihan Angkat Berat Majlis Sukan Negari Sarawak di Crossfit di sini semalam.

Abdul Karim berkata, dalam merancang kejayaan Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang, pihaknya kini turut memberi tumpuan kepada jenis sukan yang dapat menuai emas yang banyak.

“Ini termasuklah sukan angkat berat yang kini menawarkan 34 pingat emas melalui 17 kategori sukan.

Pada kejohanan SUKMA yang lalu, kita sekadar meraih satu emas, tiga perak dan tiga gangsa, di sebalik kekangan pusat latihan.

“Dengan adanya pusat latihan yang baharu ini, kita berharap dapat mengadakan latihan yang lebih sistematik, apatah lagi kita kini mempunyai atlet untuk semua peringkat kategori.

Jelas Abdul Karim, pihaknya menjadikan Pahang sebagai contoh yang perlu diikuti, kerana kejayaan negeri yang memiliki akademi angkat berat itu mendominasi kejohanan kebangsaan.

“Kita mampu bangkit bersaing kerana pada SUKMA lalu, negeri-negeri seperti Wilayah Persekutuan, Sabah dan Kelantan juga menunjukkan peningkatan mendadak,” katanya lagi.

Jelasnya, pada SUKMA lalu, persiapan kontijen Sarawak agak lewat dan hanya menggunakan ruang kecil di Dewan Suarah untuk latihan.

Kata bekas Chief-de-mission Sarawak ini, Sukan Sarawak (Suksar) pada hujung tahun ini diharap dapat dijadikan gelanggang untuk mencungkil dan mengeluarkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Sarawak, Gerald Rentap Jabu berkata, meski telah memiliki atlet-atlet yang akan dibentuk dan dilatih untuk SUKMA di Perak, persatuan juga terus aktif merekrut atlet-atlet baharu yang berpotensi, terutama di luar bandar.

“Kita mempunyai tujuh pusat latihan untuk pencarian bakat, termasuk di SMK Limbang dan SMK Demak Laut di Kuching.

“Guru-guru yang terlibat telah diminta untuk mengesan bakat-bakat baharu, yang akan dilatih selama 16 bulan sebelum dibawa menyertai kejohanan kompetetif,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice