Penganalisis: Pujut perlu diserahkan kepada SUPP, calon langsung BN tidak sesuai

KUCHING: Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Unite People’s Party (UPP) kini berebut kerusi Pujut yang kosong selepas Dr Ting Tiong Choon dilucutkan sebagai penyandang oleh Dewan Negeri baru-baru ini atas usul yang dikemukakan oleh  Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Pemerhati percaya bahawa Wong berharap Pengerusi Barisan Nasional (BN)  negeri merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan membalas jasanya itu setelah usul itu menerima sokongan padu daripada wakil rakyat BN, dengan menyerahkan kerusi itu kepada parti berkenaan.

Kini, DUN Sarawak diwakili 72  ADUN Barisan Nasional, dan 10 ADUN pembangkang daripada DAP dan PKR.

Namun, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan pemimpin akar umbi di kerusi terbabit, terutama pengerusinya Adam Yii, tidak akan menyerahkan kerusi itu begitu sahaja.

Hal ini, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir memang wajar jika BN mahu menyelesaikan konflik antara UPP dan SUPP dan calon langsung secara muktamad.

“Sejak sekian lama, kerusi DUN Pujut diwakili oleh SUPP sebagai parti komponen BN. Pujut merupakan kerusi tradisi SUPP. Jadi, sewajarnya, kerusi itu ditandingi parti tertua itu, apatah lagi SUPP mempunyai lebih 5,000 ahli di kawasan itu,” katanya kepada Sarawakvoice, sambil menambah, bahawa strategi meletakkan calon langsung sudah tidak lagi sesuai, malah perlu segera dihentikan.

“Sampai bilakah Barisan Nasional Sarawak perlu menggunakan strategi itu yang boleh memakan tuan?,” ujar penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak itu.

“Strategi ini merupakan strategi jangka pendek, dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dengan calon dan agihan kerusi pada jangka panjang,” katanya.

“Kalau tidak, isu calon langsung akan terus menjadi duri dalam daging, malah boleh menipiskan harapan calon BN untuk menang dalam pilihan raya-pilihan raya yang akan datang. Ini bukan strategi terbaik. Strategi terbaik adalah dengan terus menghentikan pendekatan berkenaan,” ujarnya.

Lagipun, kata Dr Jeniri, UPP telah pun diberi peluang untuk bertanding melalui calon langsung yang ada kaitan dengannya pada pilihan raya negeri lalu.

Calon langsung BN berkenaan, Datuk Hii King Chong  tewas kepada calon DAP.

Dilaporkan kedua-dua presiden parti terbabit telah mengemukakan nama kepada Abang Johari.

Ketua Menteri sebelum ini berkata, bahawa nama calon akan diumumkan selepas Gawai Dayak.

Gawai Dayak yang diraikan masyarakat Dayak diraikan mulai Khamis.

Selepas beberapa penggal di bawah DAP, Dr Sim dipetik sebagai berkata, perlunya kawasan itu diwakili oleh wakil rakyat dari parti itu.

“Calon yang sesuai amat penting untuk kawasan itu, dan bukannya soal siapa memiliki paling banyak wang kerana pengundi kini mahu calon paling sesuai untuk memacu Pujut ke hadapan,” kata Dr Sim. – Sarawakvoice