Komen YB Raja Bahrin bersifat publisiti politik kampungan, kata Pas

KUALA LUMPUR: Lujmah Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Terengganu melihat reaksi dan komen Ahli Parlimen (MP) Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin  lebih bersifat persepsi dan publisiti politik kekampungan kerana pelaksanaan perundangan Islam di Terengganu ialah isu bersama yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam tanpa sempadan ideologi politik.

Pengerusi LUHAM Negeri Terengganu berkata, mengembalikan semula sistem perundangan Islam yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu melalui Itqan al-Muluk atau undang-undang tubuh negeri sebelum kedatangan kuasa Inggeris bukan sesuatu yang asing.

Bahkan, kata Haji Mohd Zabidi Yusof, setelah  mencapai kemerdekaan tiada sebab untuk pelaksanaan perundangan Islam tidak boleh direalisasikan dalam konteks perundangan semasa.

“Seharusnya semua pihak mengambil bahagian masing-masing dengan perasaan kebersamaan dan ukhuwah islamiyah untuk menterjemahkan hasrat murni ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan  Ahli Parlimen terbabit seperti yang disiarkan dalam sebuah portal berita di bawah tajuk “Hentikan sandiwara Umno-Pas, kata Amanah”.

Ujarnya, Luham percaya Pas ialah  parti politik yang berfikiran jauh dan meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan individu dan kepuakan. Umno-BN adalah parti pemerintah di Terengganu pada masa  ini, adalah menjadi obligasi kerajaan semasa untuk penguatkuasakan warta Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2002 walaupun pewartaan tersebut telah dilakukan pada masa pemerintahan kerajaan PAS (1999-2004) yang lalu.

“Sehingga sekarang tiada bukti enakmen tersebut dibatalkan atau tiada keputusan mahkamah yang membatalkan di atas apa jua alasan. Oleh itu kenapa perlu diadakan usul baru terhadap enakmen tersebut untuk dibahaskan semula di peringkat DUN,” katanya lagi.

Sebaliknya, ujarnya,  para legislator perlu menekankan aspek penguatkuasaan dan perlaksanaan pewartaan enakmen tersebut menurut procedure yang sedia ada. Persoalanya sama ada dan sejauh manakah Kerajaan Terengganu sekarang serius atau tidak dalam perkara ini.

Menurut Mohd Zabidi, Luham percaya RUU 355 ialah salah satu pendekatan yang digunakan untuk mengisi ruang yang dibenarkan dalam konteks Perlembagaan Malaysia tanpa memprejudis undang-undang yang sedia ada dan tanpa melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan dua per tiga majoriti ahli parlimen.

“Pas mengambil langkah dan perdekatan ini melalui hubungan Kerajaan Kelantan dan Persekutuan dalam semangat federalisme bagi membolehkan peranan dan kedudukan mahkamah syariah dimartabatkan sebagai institusi keadilan yang memenuhi tuntutan syariah,” katanya. – Sarawakvoice