Manyin ajak Bidayuh ucap Seramat Anu Gawai, hidang sagon, sikipeng, pangkang

SERIAN: “Seramat Anu Gawai” begitulah ucapan yang disaran oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato’ Sri Michael Manyin Jawong agar digunakan oleh anak jati Bidayuh bagi sambutan Hari Gawai Dayak demi menjadikan sambutan itu terasa lebih asli.

Manyin mahukan masyarakat Bidayuh mempunyai ucapan lebih unik berbanding masyarakat lain seperti Iban dan Melayu yang menuturkan “Selamat Anu Gawai” atau “Selamat Hari Gawai”.

Bercakap pada majlis makan malam “Gawai Maris Sawa 2017” di Kampung Taee pada Ahad malam, Manyin berkata dalam loghat Bidayuh Bau, perkataan “seramat” sesuai digunakan, justeru beliau mencadangkan, ucapan “Seramat Anu Gawai” bermula tahun ini.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Selasa, Manyin turut meminta masyarakat Bidayuh menyajikan kuih tradisional seperti sagon, sikipeng, pangkang dan sebagainya, tidak tertumpu kepada juadah moden sahaja.

Bercakap pada majlis anjuran bersama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) cawangan Bung Sadung Serian serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Manyin berkata ramai pengunjung bangsa lain mahu melihat kuih-muih tradisional Bidayuh, maka wajar ia dihidangkan sempena Gawai.

“Semua hidangan itu harus dikekalkan supaya budaya Bidayuh terus hidup. Gawai bukan sahaja untuk bergawai, namun juga untuk mengekalkan budaya kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu itu, memetik Utusan Sarawak.

Mengimbau kenangan 1950-an dan 1960-an, Manyin ingat ramai orang Bidayuh tidak mampu menyambut Gawai kerana hidup susah ketika itu.

Kini, Manyin menyatakan kesyukuran kerana ramai masyarakat Bidayuh dapat merayakan Gawai dengan sepatutnya kerana sudah berjaya dalam kehidupan.

Manyin menyebut dahulu, tidak ada satu kilometer jalan di Tebedu bertar, sekarang sudah bertar, hampir semua orang memiliki kereta.

Menurut Manyin, sudah ramai anak Bidayuh berjaya di universiti dan kehidupan masyarakat ini sudah jauh berubah. – Sarawakvoice