Pengelola Kejohanan Bola Sepak Piala Dr Haji Rosana serah sumbangan kepada keluarga pengurus Paloh FC

KABONG: Pihak pengelola kejohanan bola sepak Piala Dr Haji Rosana menyampaikan sumbangan sebanyak RM736 iaitu jumlah yang berjaya dikutip daripada penonton yang hadir menonton semasa perlawanan yang membabitkan pertemuan di antara pasukan Village Warrior FC Kampung Paloh dan Loy 69 Mangut FC baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada wakil keluaga Allahyarham Madehan Abang Awi oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaaan( SK) Abang Leman Kabong, Haji Bujang Haji Lee.

Guru Besar SK Abang Leman, Bujang Haji Lee menyampaikan sumbangan kepada wakil pasukan Paloh FC.

Madehan Abang Awi ,43, Pengurus Pasukan Paloh, Village Warrior FC, terkorban dalam tragedi bot karam baru-baru ini.

Dalam kejadian pada Sabtu, (6 Mei) mangsa Abang Madehan Abang Awi berusia 43 tahun bersama 12 penduduk sedang dalam perjalanan dengan bot membawa air minuman bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menuju ke Kampung Paloh .

Bot yang dinaiki mangsa bagaimanapun telah dibadai ombak dan karam kira-kira jam 12.40 tengah hari. Ekoran daripada kejadian itu mangsa gagal diselamatkan dan hilang di laut pada hari kejadian.

Mayat mangsa berjaya ditemui dua hari selepas kejadian (8 Mei , Isnin) dalam keadaan yang sudah kurang sempurna dan dikebumikan pada hari itu juga.

Susulan daripada insiden itu juga perlawanan bosa sepak Piala Dr. Haji Rossana yang membabitkan pasukan Village Warrior FC dari Kampung Paloh dan Loy 69 Mangut FC dari Kampung Mangut Pusa yang dijadualkan berlangsung petang kejadian telah ditunda ke tarikh lain.

Jurucakap Pengelola, Zulfikar Haji Ismail memberitahu ekoran daripada kejadian itu juga pihak pengelola telah menggerakkan tabung derma kilat untuk tujuan membantu mangsa.

“Pihak pengelola mengucapkan berbanyak terima kasih kepada orang ramai yang datang menonton dan begitu bermurah hati untuk menghulur sumbangan sehingga pihak kami berjaya memperoleh kutipan untuk disumbangkan kepada keluarga Allahyarham,” ujarnya. – Sarawakvoice