Akhbar The Star mohon maaf atas keterlanjurannya

KUALA LUMPUR: Pas mendakwa keharmonian negara sekali lagi terganggu dengan kegagalan akhbar The Star memelihara sensitiviti agama dan kaum dalam negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan  berkata, tindakan akhbar itu memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan ibadah solat berjamaah Sabtu lalu dengan tajuk “Malaysian terrorist leader” ialah satu perbuatan yang sangat keterlaluan dan biadab.

The Star telah memohon maaf atas keterlanjurannya itu dan mengakui menjadi amalannya untuk berdekad-dekad menyiarkan gambar umat Islam berjemaah di muka depan sebagai tanda penghormatan umat Islam meraikan bulan Ramadan pada hari pertama.

“Untuk tahun ini secara kebetulan tajuk utama berita ialah tentang pemimpin pengganas, menyebabkan pembaca mengaitkan berita itu dengan gambar, yang sebenarnya bukan tujuannya,” kata kenyataan berkenaan.

Nasrudin berkata, tidak memadai dengan hanya memohon maaf setelah menyiarkan gambar sedemikian rupa yang cuba mengaitkan ummat Islam dengan keganasan.

“Ini bukan kali pertama perlecehan agama dan sentimen kaum dilakukan secara terbuka dan berani,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan.

Ujarnya, sebelum ini Nanyang Siang Pau telah mempersenda Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menggunakan karikatur seekor monyet berserban sehingga mencetus kemarahan rakyat Malaysia yang sepatutnya hidup makmur dalam masyarakat berbilang kaum tanpa penghinaan sedemikian rupa.

“The Star gagal mempelajarinya. Masih mengulangi kesilapan serupa. Nampaknya makin berani dan nekad. Permohonan maaf setelah berkali-kali insiden serupa berlaku merupakan satu lagi siri penghinaan,” katanya.

“Sampai bila kesabaran ummat Islam mahu diuji sedemikian rupa? Kesabaran ummat Islam dicabar terus menerus. Mereka cetus provokasi supaya keamanan dan kemakmuran negara tergugat? Kemudian mereka akan jadikan ummat Islam sekali lagi sebagai kambing hitam?,” tambahnya.

Idris berkata, kerajaan mesti serius dalam isu sebegini dan tidak sekadar bertindak secara lebih kurang.

“Jangan beri muka berulang kali kepada penghinaan Islam dan provokasi terhadap umatnya,” katanya.

Persoalannya, menurut beliau, mengapa mereka makin berani?

“Sama ada mereka semakin angkuh dengan sokongan ekonomi dan politik yang mereka perolehi atau ummat Islam semakin lemah kerana berpecah sesama sendiri,” ujarnya.

“Namun kami yakin dan percaya, sikap berani mereka yang melebihi had dalam mempersenda umat Islam ini akan memerangkap diri mereka sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, ujarnya,  semua pihak diseru supaya berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran umat Islam.

“Jangan terus mencetus provokasi. Kerana provokasi itu tidak selamanya memberi keuntungan kepada mereka.

Kembalikan keamanan dan keharmonian negara dengan semua pihak khasnya media saling hormat menghormati dan memelihara sensitiviti keagamaan serta perkauman. Kami tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti ,” katanya.

“DAP yang anti-Islam mengekspkoitasi isu, kerana kami yakin di luar sana ramai  bukan Muslim yang tidak bersetuju dengan sikap seperti ini,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil The Star pada hari ini. – Sarawakvoice