Obor Sukan Sea menyala di Sarawak pada 8-13 Jun depan

KUCHING: Puasa tidak akan menghalang acara larian obor Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Asean Ke-9 berlangsung di Bumi Kenyalang.

Ia bermula pada 8 Jun depan apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima obor tersebut dari pelari Sabah di Kompleks Kastam dan Imigresen Merapok, sebelum dibawa berlari dan berakhir di SMK Merapok di Lawas.

Keesokannya, obor tersebut akan dibawa terbang ke Taman Negara Mulu dan pada 10 Jun, acara sambutan dimulakan di Marriot Mulu Resort, dengan diketuai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Gerawat Gala.

Gambar fail

Di sini, obor tersebut akan dibawa menyertai eksplorasi ke Gua Air Jernih.

Pada 11 Jun, obor temasya akan dibawa ke Dewan Masyarakat Sekuau, Sibu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun akan menjadi tetamu kehormat majlis ini yang dijadualkan berakhir dengan upacara miring dan acara kebudayaan di Rumah Anderson Ngalai.

Dari Sibu, obor ini akan dibawa pula berlari di jambatan sungai terpanjang di Malaysia, iaitu Jambatan Batang Sadong di Sungai Buloh, Simunjan pada 12 Jun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan menyambut obor tersebut, sebelum ia berakhir di Padang Sentral, Simunjan.

Pada 13 Jun, obor tersebut akan berada di Pangkalan Sapi, Petra Jaya di Kuching dan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum diarak menuju ke Kompleks Islam Sarawak.

Obor temasya akan diterbangkan ke Perlis pada 14 Jun sebelum acara penyerahannya kepada wakil Perlis disempurnakan pada keesokannya.

Upacara penyerahan ini akan disempurnakan Abdul Karim mewakili Kerajaan Negeri Sarawak.

Sukan Sea akan berlangsung di Kuala Lumpur 19 Ogos depan. – Sarawakvoice