Tiada penceramah agama disenarai hitam di Sarawak – Abang Johari

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak semalam menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyenaraihitamkan mana-mana penceramah agama untuk berceramah di seluruh pelosok negeri ini, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang akan disambut esok.

Sebaliknya kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, MajIis Islam Sarawak (MIS) hanya bertindak memantau ceramah dan syarahan oleh para penceramah ini agar tidak membawa pandangan berbeza.

“Kita ada menerima aduan sebelum ini, tetapi ia tidaklah membimbangkan.

“Sebaliknya untuk kes-kes seperti ini, kita akan hanya memberi nasihat kerana takut penceramah-penceramah ini membawa pandangan yang tidak selari dengan jemaah kita.

“Majoriti umat Islam di Sarawak adalah pengikut aliran mazhab Shafie selain merupakan ahli sunnah wal jamaah,” tegasnya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan MIS kepada masjid dan surau di Bahagian Kuching di Dewan Hikmah, Petra Jaya sebentar tadi.

Sebanyak 99 masjid dan 222 surau menerima sumbangan sempena sambutan bulan Ramadan ini.

Ia merupakan sebahagian daripada 1,378 masjid dan surau di seluruh negeri, yang akan menerima sumbangan tersebut menerusi 24 lagi program agihan yang dirancangkan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pihaknya telah menasihati pentadbir masjid dan surau di negeri ini agar menjemput hanya penceramah agama yang bertauliah untuk mengimarahkan program agama kariah mereka.

“Tanpa sebarang isu yang timbul, situasi ini akan membolehkan penceramah-penceramah ini memberi nasihat yang bermanfaat kepada jemaah kita.

Dalam konteks ini katanya, perpaduan umat Islam amatlah penting, bagi membolehkan umat Islam di negeri ini melaksanakan ibadah dengan tenang dan sempurna.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan kejayaan Tabung Baitilmal Sarawak mencapai sasaran kutipan sebanyak RM100 juta pada tahun lalu, dengan RM72 juta daripadanya merupakan zakat pendapatan.

“Ia berbeza dengan zakat sebanyak RM68 juta yang berjaya dikutip pada tahun sebelumnya.

“Ia turut membuktikan bahawa masyarakat Islam di negeri ini semakin stabil dari segi ekonominya,” katanya lagi. – Sarawakvoice