Hadi Awang: Bulan Ramadan bertujuan lahirkan rasa syukur

KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, amalan yang dikerjakan pada bulan Ramadan bertujuan  untuk melahirkan rasa syukur seorang hamba kepada Allah SWT dengan mendidik roh, akal dan jasad mereka.

Selain digalakkan untuk solat terawih, katanya dalam pertusan sempena menyambut bulan Ramadan, bacaan al-Quran dan ibadah yang lain, umat Islam juga digalakkan untuk bersedekah dengan mengorbankan harta benda dan menyucikannya melalui kefarduan zakat fitrah.

“Sepatutnya di bulan inilah umat Islam dididik untuk lebih terkehadapan dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

“Bulan Ramadan juga bulan al-Quran. Di dalamnya, banyak menerangkan tentang konsep ketuhanan, ibadah, politik, pendidikan, ekonomi, sosial masyarakat, undang-undang, hal ehwal antarabangsa dan sebagainya,” ujarnya.

Ahli Parlimen  Marang itu juga berkata, umat umat  Islam perlu  sedar yang mereka ialah makhluk dan hamba kepada Tuhan.

“Islam itu merupakan agama asal kepada kejadian ciptaan manusia dan makhluk di langit dan di bumi. Hanya manusia yang jahil dan bebal sahaja beranggapan teori kewujudan manusia bermula di zaman batu sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli sejarah barat yang jahil dan bebal,” tambahnya.  

“Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap bagi keperluan hidup manusia. Sudah cukup kepada umat di akhir zaman ini untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah Ramadan bulan untuk kembali kepada suluhan Al-Quran.

Selain itu, rebutlah ketika peluang masih ada dengan perbanyakkan bacaan al-Quran, solat sunat, beriktikaf, berdoa, bersedekah dan merapatkan silaturahim sesama umat Islam,” katanya.

Katanya: “Alhamdulillah, marilah kita perbanyakkan bersyukur kepada Allah yang telah memberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah di bulan Ramadan yang penuh kerahmatan dan keampunan.

Ada manusia tidak sempat dan tidak menyangka Ramadhan tahun lalu adalah Ramadan terakhir untuk mereka. Ada manusia diberi peluang tetapi mensia-siakan pula ganjaran Allah.”

Beliau mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam walau di mana juga mereka berada.

“Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini menjadi Ramadan paling baik dalam sejarah hidup kita untuk meraih keampunan dan mencapai darjat taqwa,” katanya. – Sarawakvoice