‘Anda dapat lihat sendiri, ISIS sudah ada di sini,’ kata Presiden Duterte

Kini,  militan asing turut menyusup ke selatan Filipina setelah gagal untuk pergi ke Syria atau Iran.

Sejak berlakunya konflik tajam empat hari lalu, pergolakan semakin teruk di bandar Marawi.

Marawi, berpenduduk majoriti Islam di wilayah Lanao del Sur di Pulau Mindanao.

Terdapat sekitar 200,000 penduduk di Marawi.

Di pulau ini terdapat puak Maute yang sudah mengumumkan sumpah setia kepada ISIS.

Terdapat pula kelompok pemberontak  yang yang menuntut autonomi yang lebih luas daripada kerajaan.

Kelompok ini kini  terbabit dalam perundingan dengan kerajaan, sementara kelompok yang lebih kecil, yang beraliran lebih keras, tetap aktif di lapangan.

Hubungan antara kelompok yang lebih kecil ini dengan kelompok yang memperjuangkan ideologi yang sama di Indonesia dan Malaysia sudah ada sejak beberapa tahun lalu, sebelum ISIS berdiri di Timur Tengah, kata BBC.

“Anda dapat lihat sendiri, ISIS sudah ada di sini,” kata Presiden Duterte dalam satu ucapan di kem tentera di Marawi, Jumaat.

Duterte telah mengisytiharkan keadaan darurat di hampir semua kawasan Mindanao beberapa jam setelah tercetus pertempuran di Marawi Selasa lalu.

Pertempuran kali ini menyaksikan kerosakan besar, dengan sekolah, gereja, bangunan dan kedai turut musnah.

Penduduk lari menyelamatkan diri daripada pergolakan paling teruk pernah disaksikan dalam tahun-tahun terakhir.

Manakala jumlah korban terus meningkat, militan asing, antara lain dari Indonesia dan Malaysia juga dilaporkan maut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan dua lelaki Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan militan di Marawi, Mindanao pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pada masa ini, pihaknya sedang meneliti pengenalan diri kedua-dua lelaki itu sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan terperinci.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kita sedang meneliti butiran penuh walaupun kita telah kenal pasti identiti dan dari mana mereka berasal,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Maklumat risikan itu, Bukit Aman yang akan keluarkan,” katanya.

Akhbar tempatan  melaporkan mengenai dua rakyat Malaysia dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran itu.

Pertempuran tercetus apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai  kaitan dengan IS atau Daesh.

Jurubicara tentera Filipina, Brigjen Restituto Padilla, berkata, enam militan asing, antara lain dari Indonesia dan Malaysia, tewas dalam pertempuran.

Sumber lain  melaporkan, terdapat juga militant dari Singapura.

Pertempuran berlaku pada hari Selasa setelah tentera Filipina menggempur  sebuah rumah yang diyakini sebagai tempat persembunyian komandan kumpulan Abu Sayyaf dan pemimpin kumpulan yang bersimpati dengan kelompok yang menamakan diri Negara Islam (ISIS), Isnilon Hapilon.

Puluhan militan bersenjata, kata BBC, menghadang gerak tentera pemerintah, memicu pertempuran sengit di beberapa bahagian kota.

Militan sempat mengibarkan bendera ISIS.

Operasi tentera oleh pemerintah Filipina didukung helikopter dan pasukan khusus.

Kerajaan mengakui krisis ini sangat sulit diatasi kerana militan menempatkan bom di jalan-jalan dan menawan beberapa orang.

Mereka juga berada di bahagian kota yang lebih tinggi, membuat mereka mampu memperlambat atau menghentikan serangan tentera pemerintah.

Berapa lama pertempuran ini berlaku sukar diagak, tetapi yang pasti,semakin banyak nyawa akan terkorban. – Sarawakvoice