TUDM tidak kompromi unsur rasuah — Panglima Tentera Udara

LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan berkompromi terhadap para pegawainya yang terlibat dalam masalah integriti dan rasuah.

Panglimanya, Datuk Seri Affendi Buang berkata, integriti adalah isu paling tinggi dalam TUDM kerana ia kebanyakan perolehan melibatkan peralatannya yang amat sensitif dan tidak boleh dikompromi kualitinya.

“Jika kita tidak menentukan pembelian peralatan yang tepat…jika kita tidak tentukan (perolehan) yang terbaik atau ambil jalan pintas, disebabkan isu integriti, ia boleh membahayakan pengguna dan anggota,” tegasnya sewaktu sidang media, selepas menghadiri Hari TUDM Bersama Media di Pangkalan Udara Labuan, dekat sini petang semalam.

Lebih 50 pengamal media dari seluruh negara diterbangkan ke pangkalan itu melalui dua penerbangan, iaitu pesawat A400 untuk media Semenanjung dan CM130 untuk media dari Sarawak dan Sabah.

Ia dilangsungkan bersempena Hari TUDM ke-59 yang akan disambut 1 Jun depan, dengan tema “Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara”.

Menjelas lanjut, Affendi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi tentang aspek keselamatan, baik jentera mahupun anggota.

“Kerana itu kita tidak dapat bersetuju jika barang dan peralatan yang kita terima itu tidak memenuhi spesifkasi dan keperluan perkhidmatan.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya juga ingin menekankan bahawa jika ada gejala-gelaja seperti ini membarah dalam TUDM, ia bukan sahaja memberi impak negatif yang besar kepada TUDM, malah mengancam aspek keselamatan negara.

“Kita sedang berusaha untuk pastikan isu ini ditangani dan dikurangkan, malah tidak akan berulang lagi dalam TUDM,” jelasnya.

Affendi sebelum itu dirujuk media mengenai kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan bekas pegawai TUDM yang kini sedang disiasat berhubung kes rasuah.

“Dalam kes ini, kita biarkan tindakan undang-undang berjalan.

“Tetapi pada masa yang sama saya sentiasa mengingatkan kepada pegawai dan anggota bahawa integriti merupakan sifat yang perlu disemai dan ditanam di dalam diri setiap antara mereka.” – Sarawakvoice