Tiada wakil rakyat Sarawak yang bertindih kerusi pada PRU akan datang – Abang Jo

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebentar tadi mengesahkan tidak ada mana-mana wakil rakyat di negeri ini yang akan memegang dua kawasan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serentak pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Jelasnya, BN sebaliknya akan meletakkan calon-calon baharu di kawasan bertindih.

“Misalnya, kita akan meletakkan calon baharu di kawasan Parlimen Betong kerana Datuk Amar Douglas Uggah Embas memang berhasrat untuk mengosongkan kerusi itu.

“Ini kerana beliau dikehendaki untuk berkhidmat di peringkat negeri,” katanya lagi.

Bekas Adun Bukit Saban, Robert Lawson Chuat kini diuaruarkan akan diturunkan sebagai calon BN untuk kerusi tersebut, selepas beliau mengosongkan kerusi miliknya untuk Uggah pada Mei lalu.

Ditanya mengenai kedudukan Tan Sri William Mawan Ikom yang kini Ahli Parlimen Saratok dan Adun Pakan, Ketua Menteri berkata, masih terlalu awal untuk memberikan komen.

Menurut sumber, sekurang-kurangnya lima penyandang kerusi daripada BN tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum akan datang. – Sarawakvoice