Soon Koh setuju kekuatan internet berjaya realisasikan e-dagang KM

SIBU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh mengakui beliau mempunyai perancangan besar menjayakan e-dagang di negeri ini.

Beliau yakin menerusi e-dagang, penduduk luar bandar dapat dihubungkan dengan dunia luar seterusnya membantu mereka memasarkan hasil produk ke pasaran luar dan antarabangsa.

Mengunjungi pra-Gawai Dayak ke-16 rumah panjang di Jalan Trusan, Rantau Panjang, Sungai Engkalat, Sungai Aup dan Pasir Mas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Soon Koh sempat menjengah Pusat Internet 1Malaysia Rantau Panjang yang beroperasi tiga bulan lepas.

Wong Soon Koh

Dalam kenyataannya, Soon Koh memuji usaha keras Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang berjuang menaik taraf kemudahan internet pantas agar e-dagang dapat direalisasikan di Sarawak.

Abang Johari sebelum ini, yang sedia merealisasikan era Ekonomi Digital Sarawak mengumumkan Telekom Sarawak sedia meningkatkan kelajuan internet kepada 4 terabait sesaat (tbps).

Manakala, dengan berdirinya tambahan lebih 3,000 menara telekomunikasi dengan peruntukan RM1 bilion menjadikan semuanya berjumlah 5,000 menara, Sarawak sedia beranjak dari teknologi internet 4G kepada teknologi generasi 5G.

Memetik Utusan Sarawak pada Jumaat, Soon Koh berkata, “sudah tentu kita perlu ada asas internet agar mudah dunia maya e-dagang ini diakses oleh semua, termasuk oleh komuniti di luar bandar.”

Soon Koh yang juga Menteri Kewangan Kedua berpendapat, terdapat sesetengah produk perlukan pengangkutan untuk dipasarkan secara pukal contohnya seperti lada hitam dan sebagainya.

Manakala, terdapat sesetengah produk lain boleh dipasarkan secara e-dagang dijual secara berasingan untuk individu seperti hasil kraf tangan, batik dan sape yang boleh dipasarkan melalui e-dagang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu berkata pembeli boleh membeli alat sape untuk disimpan sebagai cenderamata, kalaupun tidak berminat memainkannya.

Soon Koh berkata, hasil kraf tangan diyakini mahu dimiliki dan dibeli pelanggan luar, cuma bergantung kepada bagaimana ia dipromosikan dan dijual melalui e-dagang. – Sarawakvoice