Polis temui senjata pembunuhan kerambit di belakang reban ayam – KPD Kuching

KUCHING: Senjata jenis “kerambit” yang digunakan untuk menyebabkan kematian seorang lelaki pada 22 Mei lalu telah berjaya ditemui, kata Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai.

Menurutnya, penemuan itu menyumbang kepada penyelesaian kes terbabit, dengan tujuh suspek kini sedang direman untuk membantu siasatan.

“Senjata ditemui di belakang reban ayam di kediaman suspek setelah dipandu arah oleh seorang saksi.

“Kerambit itu ditemui di dalam stokin, yang juga masih memiliki kesan darah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Ketua Polis Daerah Kuching di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, dua buah kereta yang ada kaitan dengan suspek turut dirampas sebagai bahan bukti.

“Siasatan kini sudah hampir lengkap, dan kita percaya suspek akan dituduh dalam sedikit masa lagi,” tambahnya.

Dalam kejadian pada 22 Mei tersebut, mangsa, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) berusia 38 tahun maut selepas dibelasah hingga mati oleh suspek dan rakan-rakan, kira-kira 300 meter dari sebuah pusat karaoke.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Abang Ahmad turut menyampaikan pemakaian pangkat kepada seramai 18 pegawai dan anggota di bawah Ibu Pejabat Daerah Kuching. – Sarawakvoice