Pasukan Emplam FC juara bola sepak piala Dr. Haji Rosana

KABONG: Pasukan Emplam FC muncul sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dr. Haji Rosana Haji Bolhassan apabila berjaya menumbangkan lawannya Santana FC dalam perlawanan akhir petang semalam.

Ketika mengharungi persaingan sepanjang kejohanan, pasukan Emplam FC pada awalnya tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir.

Faktor kalah besar 7-0 dalam perlawanan pertama di tangan pasukan Jingga FC Saratok seakan-akan memberi bayangan awal bahawa pasukan itu bakal menjadi antara pasukan belasahan dan akan tersingkir awal.

Pun begitu, barisan Empelam FC akhirnya menutup rapat mulut pengkritik apabila mereka merintis laluan demi laluan hingga ke pentas final selepas menafikan peluang pasukan Bersepai FC pada peringkat separuh akhir apabila mereka menang penentuan sepakan penaliti yang berkesudahan dengan Empelam 9 dan Bersepai 8.

JUARA…Pasukan Emplam FC

Lebih manis kejayaan yang dilakukan di final membuktikan penyertaan mereka bukan sekadar pelengkap kepada jumlah penyertaan. Sebaliknya pasukan itu menjadi semakin mantap dan mencantas satu persatu lawan yang cuba menutup laluan mereka.

Dalam aksi final, membuat perhitungan dengan pasukan Santana FC nyata bukan tugas mudah untuk Emplam FC. Malah mereka dibolosi gawang gol seawal minit ke-5 perlawanan. Dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan serta beberapa kali berkongsi jaringan 1-1, 2-2, 3-3, 4-4 sehingga minit ke-86.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal diteruskan dengan masa tambahan, pasukan Emplam FC merobek gawang Santana hasil percubaan jarak jauh untuk mendahului dengan jaringan 5-4 pada minit ke-87.Keputusan itu kekal sehingga perlawanan ditamatkan.

Kemenangan itu membolehkan pasukan Empelam FC pulang dengan sebuah piala beserta medal dan wang tunai RM2,000.

Pasukan Santana yang muncul naib juara menerima sebuah piala,medal dan wang tunai 1,500.

NAIB JUARA….Santana FC

Pasukan Bersepai FC muncul pemenang tempat ketiga. Mereka menerima RM1,000,piala dan medal. Manakala pasukan Jingga FC Saratok, muncul pemenang tempat keempat dan menerima piala serta wang tunai RM500.

Pemain Santana FC, Nen Salem dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir. Manakala Abang Ikhwan Abang Kassim diisytihar sebagai penjaring terbanyak dengan menjaringkan 9 gol sepanjang kejohanan.

Sepanjang berlangsung kejohanan sebanyak 14 pasukan bersaing bertempat di padang Sekolah Kebangsaan Abang Leman Kabong.

Perlawanan akhir turut disaksikan oleh pemilik piala kejohanan Dr. Haji Rosana Haji Bolhassan dan kira-kira 800 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan. – Sarawakvoice