Sultan Selangor perkenan kekalkan tiga Exco Pas

KUALA LUMPUR:  Di sebalik teka-teki dan spekulasi tentang politik Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengekalkan tiga Exco Pas Selangor dalam kerajaan negeri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu dibuat setelah  baginda berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhan, selain mahu usaha pembangunan negeri Selangor terus dilaksanakan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan media hari ini berkata, Tuanku bertitah demikian selepas meneliti dan menimbang segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan Selangor.

“Baginda juga mengambil kira mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian serta pembangunan agar kemakmuran rakyat di Selangor tercapai,” katanya.

Menurut Mohamad Munir, baginda juga yakin kepercayaan diperoleh Azmin ketika dilantik sebagai Menteri Besar pada September 2014 masih kekal.

Katanya, Sultan Sharafuddin turut menyeru kepada semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif tentang kestabilan kerajaan negeri Selangor. – Sarawakvoice