Pas terus setia kepada Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Pas Selangor melalui tiga Exco dan 10 wakil rakyatnya  berjanji akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan dan khidmat cemerlang mereka  bersama dengan Menteri Besar  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kesemua exco serta wakil rakyat kerajaan Negeri Selangor.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata,  yang penting bagi  Pas ialah kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya.

“Menyedari terhadap demografi masyarakat negeri Selangor, Pas akan terus menggunakan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) dalam menghadapi situasi yang mendatang. Berpolitik secara santun, berpolitik secara hujah bukan sumpah-seranah, berpolitik secara rasional dan bukan emosional adalah antara keperluan bagi memastikan kestabilan kerajaan tercapai,”’ katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya,  bagi pihak-pihak yang sering mengeluarkan perkataan sumbang, yang dengki dengan kejayaan Kerajaan Selangor dan yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana konflik politik di Selangor harap dapat mengambil pengajaran dan peringatan terhadap titah  Sultan Selangor serta meyakini pendirian yang telah dinyatakan oleh Presiden PKR.

“Pas Selangor telah mempertegaskan sebelum ini bahawa keputusan untuk putus tahaluf politik adalah yang berkaitan dengan persediaan menghadapai pilihan raya yang akan datang dan tidak berkait dengan urustadbir kerajaan negeri,”’ katanya.

Menurut beliau, Pas Selangor juga mengambil pendirian bahawa putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan, bahkan  akan terus memperkukuhkannya.

Sejak  awal mandat rakyat ini diperoleh melalui Kerajaan Pakatan Rakyat Mei  2013,  katanya, Pas Selangor begitu  teguh dan setia bersama-sama dengan semua Menteri Besar yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Katanya, sama ada ketika Selangor dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apatah lagi dengan Menteri Besar Selangor sekarang, Pas Selangor percaya bahawa kesetiaan dan keyakinan  terhadap pemimpin yang diperkenankan oleh Sultan ialah asas penting untuk memastikan  kestabilan politik dapat dipelihara dengan baik, dan kepercayaan rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya. – Sarawakvoice