Kekalkan Exco: PAS junjung tinggi limpah perkenan Sultan Selangor

KUALA LUMPUR:  PAS hari ini menjunjung tinggi limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengekalkan tiga Exco Pas Selangor dalam kerajaan negeri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,  dalam satu kenyataan berkata, seluruh anggota parti itu menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda atas keputusan berkenaan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah  pagi tadi membuat keputusan berkenaan setelah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi memelihara kepentingan rakyat secara keseluruhan, selain mahu usaha pembangunan negeri Selangor terus dilaksanakan.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Patik sepenuhnya meyakini ketiga-tiga anggota exco Selangor dan 10 orang anggota dewan undangan negeri (ADUN) PAS tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan Tuanku dan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri Selangor dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama,” kata Abdul Hadi.

Isu kedudukan exco PAS di Selangor menjadi perhatian selepas parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

Susulan itu timbul  desakan supaya exco PAS terbabit digugurkan, namun Azmin berpendirian mereka dikekalkan demi kepentingan rakyat.

Dalam kenyataan pagi tadi Sultan Sharafuddin turut menyeru kepada semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif tentang kestabilan kerajaan negeri Selangor. – Sarawakvoice