Pas: Pakatan Harapan sibuk bertarung sesama sendiri

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan lebih sibuk bertarung sesama sendiri  dan pertarungan itu dijangka lebih hangat apabila tibanya masa untuk berebut kerusi, kata  Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Pas dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan  dalam Pakatan Rakyat dahulu.

“Tanpa Pas, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap Pas tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengambil contoh bagaimana berlakunya perbalahan dalam  pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri.

Kini, berlaku pula perebutan tentang pemimpin yang layak menjadi PM ke-7.

Katanya, PKR telah mengisytiharkan bahawa kerusi PKR tidak boleh diserahkan kepada sesiapa.

“DAP dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya,” ujarnya.

“Peliknya pengumuman ini sama seperti apa yang diisytihar Pas,” tambahnya.

Cuma ketika Pas umum, katanya, Pas dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan, manakala mereka yang sama ini kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR.

Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pas juga telah isytihar bahawa mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon di kerusi tradisi Pas bermakna memberi tongkat kepada Umno-BN.

Katanya: “Percayalah PKR dan DAP akan turut membuat pengisytiharan yang sama tidak lama lagi. Itu tidak pelik, kerana itulah realitinya, dan PAS telah mendepani realiti tersebut lebih awal.”

Ujarnya, sementera pihak lain terus bercelaru dan bertelagah, ini masa terbaik untuk Pas akan terus memajukan Gagasan Sejahtera.

“Tumpuan utama Gagasan Sejahtera ialah untuk melawan BN, dan menjadi satu wadah alternatif bertunjangkan Islam kepada rakyat,” katanya lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, Gagasan Sejahtera akan mementingkan kedamaian dan mengambil peranan semak dan timbang yang sepatutnya dan bukannya bantah atau sokong melulu terhadap satu-satu isu.

“Gagasan Sejahtera akan menjadi pengimbang antara kedua-dua belah yang terlalu mengejar kuasa sehingga matlamat menghalalkan cara, insya-Allah,” katanya. – Sarawakvoice