Anwar didakwa buruk-burukkan Pas

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini  didakwa menggunakan nama Pas untuk diburuk-burukkan parti Islam itu dengan pelbagai tohmahan.

Untuk itu, kata Ketua Penerangan Pas, bekas pemimpin pembangkang itu, sewajarnya meneliti terlebih dahulu kenyataannya terutama beberapa salah faham dan penyelewengan fakta  dan bukannya mentohmah  Pas.

Nasrudin Hassan berkata, kenyataan yang disampaikan anak Anwar, Nurul Izzah pada Kongres PKR, Ahad adalah jauh dari realiti.

Menurutnya, dalam isu GST, Pas adalah parti yang konsisten menolak pelaksanaannya.

“Sebaliknya, persoalan yang sama sepatutnya diajukan kepada beliau dan PKR, adakah benar mereka menolak secara total perlaksanaan GST?,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya,  bagaimana pula dengan kenyataan  Anwar sendiri yang jelas menyokong dan menyebelahi GST meskipun meletakkan pelbagai syarat dalam perlaksanaannya.

“Begitu juga kenyataan Nurul Izzah dalam blog beliau pada 29 April 2017 yang menyatakan Pakatan Harapan kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru,” katanya.

Nasrudin berkata, meletakkan syarat sebelum melaksanakannya bermakna seseorang itu tidak menolak perkara tersebut.

Malah, ujarnya, pada Oktober 1992, sewaktu membentangkan Bajet 1993, Anwar turut menegaskan GST perlu dilaksanakan dalam kondisi yang telus  dan berkesan.

Selain itu, katanya, Anwar  turut menyatakan bahawa Pas tidak membantah kenaikan harga minyak dan gula.

“Mungkin beliau tidak pernah didedahkan dengan pelbagai kenyataan pimpinan Pas yang menjelaskan pendirian kami berhubung kedua-dua isu tersebut,” tambahnya. – Sarawakvoice