Ekonomi Digital Sarawak mula tarik minat pelabur – Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mendedahkan Sarawak mula menerima banyak cadangan untuk menanam modal dalam projek-projek berteraskan ekonomi digitalnya.

“Datuk Amar Awang Tengah (Ali Hasan) kini telah menerima banyak cadangan pelaburan.

“Malah jika kita mula melaksanakan ekonomi digital … lebih banyak cadangan pelaburan akan diterima,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan penggulungan pertamanya sebagai Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri semalam.

Katanya, ini disebabkan mereka (pelabur) melihat Sarawak mempunyai semua prasarana yang diperlukan termasuk konektiviti yang laju.

“Ini amat membantu untuk membolehkan mereka berhubung secara langsung dengan syarikat induk di negara asal.

“Misalnya, syarikat pengeluar keluli boleh berhubung pada ‘masa sebenar” dengan ibu pejabat syarikat berkenaan di China.”

Dalam ucapan penggulungannya sebelum itu, Abang Johari memberitahu Sarawak akan memulakan inisiatif pangkalan data atau “Sarawak Big Data” pada suku pertama tahun hadapan selain menjayakan pelaksanaan infrastruktur digital yang dikenali sebagai Lebuh Raya Digital.

“Untuk tujuan ini, kita akan menyediakan 3,800 menara telekomunikasi tambahan untuk membolehkan jalur lebar ini tembus ke seluruh negeri.

Katanya, dengan sokongan dan kerjasama Telekom Malaysia pula, Sarawak bakal menikmati tahap kelajuan perkhidmatan internet sehingga empat terabit per saat (4tbps) bermula bulan depan.

“Untuk kita mencapai sasaran sehingga 100 megabits sesaat (100mbps) setiap rumah, kita perlu memastikan kelajuan yang mencukupi di jaringan internet utama atau ‘paip utama’.

“Dari paip utama ini akan diagihkan ke ‘paip-paip’ kecil di rumah rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata, apabila beliau mengumumkan untuk meningkatkan kelajuan jaringan utama internet di negeri ini kepada 2tbps awal bulan lalu, ada yang menganggapnya sebagai ‘temberang’.

“Anggapan itu akan tinggal anggapan kerana apa yang kita mahukan ialah kelajuan sekurang-kurangnya 100mbps untuk kawasan bandar manakala antara 20mbps hingga 50mbps untuk kawasan populasi sederhana serta rendah.

Ketua Menteri Sarawak keenam itu yakin bahawa rancangan besarnya untuk membawa Sarawak ke arah pembangunan berasaskan ekonomi digital akan mampu mewujudkan ‘lonjakan kuantum’ terhadap proses pembangunan Sarawak.

“Ekonomi Sarawak akan mampu berkembang lebih pantas dan mencapai paras lebih tinggi jika kita menjadikan persekitaran ekonomi tempatan lebih kondusif untuk keusahawanan dan kerjasama perniagaan.

“Salah satu cara adalah dengan menambah baik persekitaran perniagaan dan membuka ekonomi negeri ini kepada dunia dan menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua pihak.

Ini membolehkan mana-mana inidividu yang mahu meningkatkan taraf hidup mereka… berpeluang melakukannya di Sarawak, katanya. – Sarawakvoice