Rohani puji Iban, miliki semangat wira, bersungguh jalani kehidupan

SEBUYAU: Masyarakat di Sarawak berbilang kaum dan agama unik kerana saling menghormati serta dapat hidup aman harmoni.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan toleransi antara kaum masyarakat Sarawak merupakan elemen penting kerukunan ini.

Merasmikan Majlis Pra-Gawai Parlimen Batang Lupar di Rumah Panjang Sungai Nyamok pada Ahad, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar mengedar sumbangan kepada 133 warga sekitar Sebuyau.

Tujuh kerusi roda turut diedarkan kepada penerima.

Majlis pra-Gawai diadakan awal bagi menghormati Ramadan yang dijangka disambut oleh masyarakat Islam serentak dengan Pesta Gawai tidak lama lagi.

Rohani dalam ucapannya memuji kaum Iban yang terkenal memiliki semangat perwira serta bersungguh dalam kehidupan.

“Semangat seperti inilah yang perlu diterapkan di kalangan anak muda agar ke mana sahaja bumi dipijak, langit tetap dijunjung,” kata beliau memetik laporan Bernama.

Rohani menceritakan kisah pemuda Iban yang menetap di Johor Bahru, ditemuinya di Pesta Pra-Gawai Masai baru-baru ini.

Pemuda tersebut sanggup merantau dan bekerja menjadi penyelam di Singapura demi menjalankan tanggungjawabnya pada keluarga. – Sarawakvoice