Jalan Kanowit-Kapit tertangguh, elak projek asal “bahayakan” 26 rumah panjang

KANOWIT: Perubahan teknikal yang perlu dilakukan di jalan 9.6 kilometer menghubungkan Nanga Ngemah di Kanowit dengan Nanga Temalat di Song, dikenal pasti sebagai faktor lewatnya penyiapan jalan raya Kanowit-Kapit.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, awalnya jalan tersebut dirancang melalui Skim Penempatan Semula Rascom di Ngungun.

Namun, didapati jalan tersebut terlalu sempit dan tidak boleh diluaskan berikutan rumah panjang dibina terlalu hampir dengan jalan raya.

Menurut Nanta pada sidang media selepas prapelancaran Jambatan Kanowit oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing pada Ahad, jika projek tersebut diteruskan seperti rancangan asal, kemasukan kenderaan dan jentera berat di situ membahayakan nyawa penghuni di 26 rumah panjang di situ, terutama kanak-kanak.

Memetik laporan Bernama, Nanta berkata tiada keperluan projek tersebut ditangguh semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebagaimana tuduhan pihak tertentu.

Pada 27 Mac 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu melawat Skim Penempatan Semula Rascom di Ngungun meluluskan dana tambahan RM36 juta untuk projek jalan tersebut.

Pembinaan jalan Nanga Ngemah-Nanga Temalat kini dibahagikan kepada dua fasa menelan kos RM150 juta.

Fasa pertama ialah pembinaan jalan Nanga  Ngemah-Nanga Temalat.

Manakala, fasa kedua membabitkan jalan pintasan sejauh 4.1 km termasuk sebuah jambatan merentasi Sungai Ngemah.

Nanta berharap tender bagi projek jalan pintasan berkenaan dibuka pada September akan datang.

Nanta turut mengumumkan, Jambatan Kanowit bernilai RM52 juta dibuka Sabtu ini, beberapa hari sebelum Gawai.

Beliau berharap prasarana tersebut mampu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk Majau, Poi dan Ngungun. – Sarawakvoice

KANOWIT