Ada sesuatu yang mereput dan membusuk dalam Pakatan Harapan

Kini, wajah sebenar parti komponen Pakatan Harapan semakin jelas. Ketika mereka berhasrat untuk menawan Putrajaya pada PRU-14, ada sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Harapan.

Hal ini mengingatkan saya dengan kata-kata Shakespere: “Ada sesuatu yang mereput dan membusuk di Denmark”.

Adakah sesuatu yang mereput dan membusuk dalam Pakatan Harapan?

Misalnya, dalam kes pemilihan calon Perdana Menteri. PKR mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, Bersatu kelihatan tidak bersetuju.

Malah, Zahid Ibrahim daripada DAP, terangan-terangan mahu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sesungguhnya, ada kesangsian dan dilemma dalam Pakatan Harapan tentang calon  Perdana Menteri. Mereka tahu Mahathir telah berusia lebih 90 tahun, dan memerintah negara ini selama 22 tahun.

Mereka kenal siapa Mahathir yang ketika pemerintahannya dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk mahafiraun, mahazalim dan diktator.

Hal ini ketara apabila  sebagai Pengerusi Bersatu, Mahathir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak turut serta mengangkat pelekat ‘Anwar PM ke-7’ semalam.

Apakah maknanya semua itu?

Mahathir dilihat memegang telefon pintarnya dan merakam perwakilan yang mengangkat pelekat, manakala Muhyiddin sekadar bertepuk tangan.

Pakatan Harapan perlu kemukakan nama calon Perdana menteri sebelum PRU-14 bagi membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka.

Dengan itu, rakyat akan tahu untuk memilih: sama ada BN atau Pakatan Harapan.

Sementara  itu, PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kepada rakan pembangkang pada PRU-14.

Anwar dikatakan sudah berpesan kepada parti, 30 kerusi Parlimen yang PKR sudah menang tidak boleh diserahkan langsung kepada sesiapa.

Selain itu, kerusi yang PKR hampir menang atau kalah tipis juga tidak boleh diserahkan kepada sesiapa.

Hakikatnya, selagi parti pembangkang tidak bersatu berdepan BN dalam PRU-14 nanti, selagi itu mereka tidak akan mungkin dapat menumbangkan BN.

Saya percaya dalam keadaan sekarang, rakyat dan pengundi mahu tahu sama ada akan ada pakatan padu antara Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah disatu pihak dengan PAS di satu pihak.

Sebaliknya, jika mereka bersatu, ini sebenarnya satu berita buruk untuk UMNO/BN.

UMNO dan BN harus bersedia untuk segala kemungkinan, termasuk kemungkinan pembangkang akan bersatu. – Sarawakvoice