Ketua Balai berpangkat berpangkat Inspektor diburu kerana bunuh isteri

SERIAN: Polis Sarawak memburu seorang pegawainya berpangkat Inspektor dan juga Ketua Balai di sebuah daerah di negeri ini bagi membantu siasatan satu kes bunuh petang tadi.

Ia susulan satu kes wanita ditemui mati, dipercayai ditembak suaminya menggunakan pistol di sebuah rumah di Kampung Kakai, di sini petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 3.15 petang, dengan mangsa ditemui mati oleh jirannya setelah mendengar bunyi satu das tembakan.

“Jiran berkenaan kemudian dimaklumkan oleh ibu mangsa bahawa tembakan itu dilepaskan oleh menantunya, yang juga seorang pegawai polis.

“Kerana takut, ibu mangsa kemudian meminta jirannya memeriksa keadaan di dalam bilik berkenaan sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, ” kata sumber polis.

Berdasarkan keterangan ibu mangsa, suspek dikatakan melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berwarna putih.

Suspek yang dikategorikan sebagai berbahaya kerana bersenjata api, kini sedang diburu.

Maklumat awal mengesahkan mangsa, yang juga isteri suspek dikenal pasti sebagai Christie.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor dijangka akan mengadakan sidang media khas berhubung insiden ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, esok.- Sarawakvoice